Jenazah ADUN Lepar Selamat Dikebumikan

KUANTAN – Jenazah anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar Datuk Mohd Shohaimi Jusoh selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gambang di sini, tengah hari tadi.

Mohd Shohaimi, 55, meninggal dunia di rumahnya di Sungai Isap Damai di sini, pada kira-kira 4.15 pagi tadi.

Beliau meninggalkan seorang isteri Datin Rohaizan Yatim, 52, enam orang anak berusia antara 15 hingga 26 tahun.

Menurut anak kedua arwah, Mohd Irwan Afendi, 25, ayahnya yang menghidap kencing manis hanya demam sejak seminggu lalu, namun semakin pulih dan kelihatan ceria semalam.

“Pada pukul 4 pagi, emak memanggil saya dan tiga adik yang berada di rumah untuk membantu mengangkat ayah yang lemah di tandas. Kami membawanya ke bilik dan menghubungi ambulans. Waktu itu nafas ayah begitu laju.

“Pegawai perubatan kemudiannya mengesahkan ayah sudah tiada, selepas beberapa kali melakukan melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR),” katanya kepada pemberita semasa ditemui di tanah perkuburan hari ini.

Beliau menyifatkan ayahnya sebagai seorang yang penyayang walaupun ada masanya tegas dengan anak-anak.

Terdahulu, jenazah Mohd Shohaimi yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Paya Besar disolatkan di Masjid Sungai Isap pada kira-kira 11.45 pagi, yang disertai kira-kira 1,000 orang.

Antara yang menziarahi jenazah ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Turut sama menziarahi jenazah adalah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, anggota mesyuarat majlis kerajaan, ADUN dan pengarah jabatan di Pahang.

Sementara itu, anggota Parlimen Paya Besar Datuk Seri Abdul Manan Ismail berkata beliau kehilangan seorang rakan dan seorang wakil rakyat yang sangat komited untuk membantu rakyat. Lepar terletak di bawah Parlimen Paya Besar.

Abdul Manan berkata arwah tetap meluangkan masa mengikuti program di sekitar Parlimen Paya Besar walaupun tidak sihat termasuk program penyampaian sumbangan pada Khamis lalu, yang merupakan pertemuan terakhir mereka.

“Rutin arwah untuk keluar berjumpa orang ramai setiap 9 pagi, pulang ke rumah lewat petang dan sekali lagi keluar pada sebelah malam untuk berjumpa sesiapa sahaja yang mahu bertemunya.

Masa arwah lebih banyak diluangkan di luar berbanding keluarga. Begitu komitednya arwah dalam bekerja. Beliau juga sepatutnya menghadiri satu majlis di sekolah kebangsaan Cina di sini pagi ini,” katanya.

Abdul Manan menyifatkan arwah sebagai seorang yang sangat menghormati ADUN Lepar Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman yang dianggapnya sebagai ‘guru’ merupakan Ketua UMNO Bahagian Paya Besar manakala arwah adalah setiausaha bahagian ketika itu, sehingga berkeras menolak apabila namanya dicalonkan pada pilihan raya umum ke-12.

“..arwah bimbang jika beliau tidak dapat menggalas tanggungjawab itu dengan baik… sedangkan sehingga ke akhir hayatnya arwah sentiasa mendedikasikan masanya dengan kerja dan masyarakat,” katanya.

Abdul Manan juga berkata arwah baharu dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia Yayasan Felda pada Oktober lalu, dan hanya sempat menghadiri dua mesyuarat. – BERNAMA