Jangan Sebar Maklumat Tak Sahih Ekonomi Negara

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia dan parti-parti politik tertentu harus mengelak menyebarkan maklumat tidak benar atau terlibat dalam taktik menakut-nakutkan yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan pengguna terhadap ekonomi negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang bertanggungjawab juga seharusnya tidak berkongsi atau menyebarkan apa-apa maklumat yang tidak benar dan propaganda.

“Ini sama dengan mensabotajkan ekonomi anda sendiri,” katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebook beliau hari ini.

Kebelakangan ini banyak berlaku penyebaran mesej mengelirukan tentang ekonomi negara yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia, kata Abdul Rahman, yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN).

Kebanyakan mesej ini, katanya, tertumpu kepada hutang kerajaan Malaysia yang berada pada 53.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sehingga 30 Jun, 2016.

Beliau berkata kebanyakan kebimbangan dan tuduhan itu adalah tentang nisbah tersebut hampir dengan 55 peratus daripada yang ditetapkan kerajaan BN dan Malaysia akan bermasalah sekiranya ia melepasi had tersebut.

Terdapat juga mesej tidak bertanggungjawab malahan mendakwa Malaysia akan jatuh bankrap sekiranya hutang itu melepasi paras tersebut, katanya. Abdul Rahman menegaskan nisbah hutang-kepada-KDNK Malaysia ketika ini yang berada pada 53.4 peratus masih di tahap terkawal.

“Paras ini masih belum tinggi berbanding paras seperti semasa tempoh antara 1980 dan 1986 apabila nisbah hutang-kepada-KDNK kita meningkat daripada 44 peratus kepada 103.4 peratus dan kekal atas paras 55 peratus sehingga 1994,” katanya.

Justeru itu, katanya, adalah tidak logik walaupun sekiranya Malaysia melepasi paras 55 peratus hutang-kepada-KDNK maka negara akan ‘bankrap’ atau ekonominya akan bermasalah seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.

“Jika kita tidak jatuh bankrap pada paras 103.4 peratus pada 1985, jadi bagaimana kita boleh bankrap pada 55 peratus?” soal beliau. Abdul Rahman berkata Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik pada lima peratus pada 2015 dan 4.1 peratus bagi separuh pertama tahun ini dalam keadaan nisbah hutang-kepada-KDNK terkawal ketika ini.

Beliau menegaskan kerajaan tidak akan membiarkan hutang melepasi paras 55 peratus dan akan terus mengawal kewangannya dengan secara bertanggungjawab meskipun dalam keadaan harga komoditi rendah ketika ini, kesan referendum Britain keluar dari Kesatuan Eropah dan ekonomi global yang tidak menentu.

Menurutnya, pelan transformasi kerajaan mencapai kejayaan dengan dasar yang baik dan menunjukkan hasil kukuh.

“Semua rakyat Malaysia harus menumpukan kepada kejayaan ketika Malaysia mengharungi keadaan global yang tidak menentu sekarang.

“Saya tidak ragu-ragu Perdana Menteri dan kerajaan ini akan terus memastikan Malaysia menikmati pertumbuhan ekonomi, mengutamakan kesejahteraan rakyat kita dan terus membangunkan Malaysia ketika kita bergerak ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply