Jangan Salahkan Proton Harga Kereta Naik – Rafizi

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyokong rancangan Proton Holdings Berhad (Proton) mahu menaikkan harga jualan keretanya pada tahun depan.

Beliau mendakwa, Proton yang dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak boleh disalahkan disebabkan kenaikan harga kereta jenama tersebut kerana ia adalah salah kerajaan.

“Ringgit akan kekal lemah dalam tahun 2016. Bukan sahaja kereta-kereta jenama antarabangsa yang akan naik harga, Proton juga telah umumkan kemungkinan naik harga. Jangan salahkan pengilang atau Proton,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Rafizi yang juga pakar propaganda pembangkang mendakwa, kerajaan perlu dipersalahkan disebabkan kenaikan harga kereta Proton kerana mengutip cukai di antara 85 hingga 150 peratus ke atas setiap kereta yang dijual.

Dakwanya, setiap tahun kerajaan mengutip cukai dari kenderaan sekitar RM17 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah pada 8 Disember lalu mengumumkan pihaknya sedang mengkaji untuk meningkatkan harga kereta disebabkan penyusutan nilai mata wang ringgit. – mynewshub.cc

Loading...