Jabatan Kesihatan Melaka Arah Tutup 111 Premis Makanan

MELAKA – Sebanyak 111 premis makanan di sekitar negeri ini diarahkan tutup selama tujuh hari kerana gagal mematuhi dan mengabaikan aspek kebersihan dalam operasi tahun ini dari Januari hingga 17 Sept.

Pengarah Kesihatan Melaka Datuk Dr Ghazali Othman berkata arahan itu dikeluarkan dalam operasi pemeriksaan yang dijalankan ke atas 3,961 premis sepanjang tempoh tersebut.

Pada masa sama, katanya, sebanyak 347 notis kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 turut dikeluarkan, membabitkan kompaun berjumlah RM36,615.

“Jabatan Kesihatan Melaka telah melakukan 158 operasi pemeriksaan premis dalam tahun ini secara bersendirian manakala 16 operasi dilakukan secara bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan negeri ini.

“Pemeriksaan melibatkan kedai makan atau restoran, gerai makan, kilang makanan, kantin kilang, hospital, pejabat, institusi pengajian tinggi, kem Program Latihan Khidmat Negara, kantin sekolah, dapur asrama dan hentian rehat dan rawat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat kepada pemberita sebelum Ops Tom Yam dijalankan di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Melaka Dass Kandunni dan Pegawai Epid Daerah, Pejabat Daerah Melaka Tengah Dr Noor Aizam Said.

Mengulas lanjut, Ghazali berkata sebanyak 211 notis kesalahan dengan jumlah kompaun RM21,100 dikeluarkan kerana kegagalan pengusaha premis memastikan setiap pengendali makanan menjalani latihan pengendalian makanan dan mendapat suntikan anti tifoid.

Beliau berkata sebanyak 78 notis kesalahan dengan jumlah kompaun RM7,800 dikeluarkan kerana pengusaha makanan gagal menjaga kebersihan diri termasuk memakai aksesori dan berkuku panjang.

“Sebanyak 58 notis kesalahan dengan nilai kompaun RM7,715 juga dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya hurungan serangga, suhu sejuk beku yang tidak mencukupi dan masalah pembuangan sampah,” katanya.

Sementara itu, dalam Ops Tom Yam yang dijalankan malam tadi, sebanyak lima restoran menjual tom yam diarah tutup kerana gagal mematuhi tahap kebersihan dan amalan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Beliau berkata sebanyak 13 notis kesalahan dengan nilai kompaun RM4,500 turut dikeluarkan dalam pemeriksaan melibatkan lapan premis menjual tom yam di Batu Berendam, Bachang, Peringgit, Bukit Serindit dan Bukit Baru. – BERNAMA