Isu Terowong: SPRM Akan Lantik Perunding Bebas

KEPALA BATAS – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang dalam proses mendapatkan khidmat perunding bebas untuk membuat penilaian berhubung kos kajian kebolehlaksanaan bagi projek melibatkan tiga jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pihak SPRM sedang berbincang dengan beberapa perunding bebas dan masih belum memuktamadkannya.

“Kes-kes seumpama ini yang melibatkan hal-hal teknikal mengikut pengalaman kami ia akan mengambil masa lagi. Pihak kami sedang berbincang dengan pihak-pihak teknikal ataupun pihak konsultan untuk membuat penilaian berhubung dengan nilai kajian kebolehlaksanaan projek itu,” katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita pada majlis pelancaran Sahabat Cilik SPRM dan Maskot SPRM oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad di Sekolah Kebangsaan Hashim Awang, di sini, hari ini.

Azam berkata setakat ini sebanyak 127 saksi telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes projek itu dan beliau tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan dipanggil termasuk memanggil semula saksi-saksi yang telah memberi keterangan.

“Saya tidak tahu berapa ramai lagi (akan dipanggil) tetapi siasatan ini masih dijalankan dan mengambil masa lagi untuk disiapkan. Banyak saksi akan dipanggil,” katanya.

Ditanya sama ada Ketua Menteri Lim Guan Eng akan dipanggil untuk memberi keterangan, Azam berkata buat masa ini belum ada keperluan berbuat demikian.

Sebelum ini, SPRM telah memanggil dua Exco kerajaan negeri Pulau Pinang Lim Hock Seng dan Prof Dr P. Ramasamy untuk membantu siasatan projek berkenaan.

Projek berkenaan merangkumi Jalan Berkembar Pesisir Utara sepanjang 10.53km dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, jalan pintas Air Itam-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 5.7km dan jalan pintas Persiaran Gurney-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 4.075km.

Projek itu juga termasuk pembinaan terowong dasar laut sepanjang 7.2km menghubungkan Persiaran Gurney di bahagian pulau ke Bagan Ajam di Seberang Perai.

Projek tersebut sedang disiasat SPRM kerana didakwa melibatkan kos kajian kebolehlaksanaan yang tinggi dan kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri. Ia juga menerima bantahan daripada pihak yang menyuarakan kebimbangan tentang kesan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Sementara itu, Azam ketika ditanya perkembangan kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam dekat sini sejak 10 tahun lepas berkata siasatan kes itu telah siap dan kertas siasatan telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya SPRM untuk tindakan selanjutnya.

Pada 10 Ogos tahun lepas, SPRM menjalankan operasi di kilang haram memproses serbuk kayu di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam yang dipercayai mencemari alam sekitar di kampung itu.

SPRM turut mengambil beberapa dokumen daripada pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda bagi membantu siasatan kes tersebut. Susulan itu, SPRM mereman anggota Exco kerajaan negeri Pulau Pinang Phee Boon Poh dan dua beranak yang merupakan pengarah dan pengurus kilang tersebut bagi membantu siasatan.

Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan Anggota Dewan Undangan Negeri Penanti daripada PKR Dr Norlela Ariffin pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri. – BERNAMA

Loading...