Insiden MH370, MH17 Agenda Utama Lawatan PM Australia

PUTRAJAYA – Kerjasama antara Malaysia dan Australia berkaitan insiden pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 dan MH17 akan menjadi agenda utama apabila Perdana Menteri Australia Tony Abbott tiba di Malaysia pada Sabtu untuk lawatan rasmi sehari.

Dalam lawatan sulung ke Malaysia susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Australia pada 18 Sept tahun lepas, Abbott akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat penilaian terhadap perkembangan kerjasama dua hala sedia ada antara Malaysia-Australia.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Abbott, diiringi Najib, akan bertemu pasukan dari Malaysia yang terbabit dalam operasi mencari MH370 dan MH17 untuk merakamkan penghargaan terhadap tugas yang mereka laksanakan.

Kedua-dua perdana menteri akan turut bertukar-tukar pandangan dalam isu serantau dan antarabangsa melibatkan kepentingan bersama.

“Lawatan ini tidak syak lagi akan terus memperkukuhkan lagi hubungan akrab dan istimewa sedia ada antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Sejak pengwujudan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Australia pada 1957, hubungan antara kedua-dua negara sangat baik dan bertenaga, dipertingkatkan menerusi kerjasama substantif, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, keselamatan serta hubungan rakyat dan rakyat. – BERNAMA

Leave a Reply