Industri Mobiliti Mampu Cipta Sejuta Peluang Pekerjaan

SERDANG – Dalam melangkah ke arah Tranformasi Nasional 2050 (TN50), industri automotif negara bakal berkembang menjadi lebih canggih dan dijangka berpotensi untuk mencipta lebih sejuta peluang pekerjaan baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, industri yang dikenali sebagai mobiliti terhubung ini menjadi pelengkap kepada inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menerusi Institut Automotif Malaysia (MAI), industri baharu ini akan membuka penempatan kepada kira-kira 480,000 graduan Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional TVET dan 300,000 graduan universiti awam.

Jelasnya, mobiliti terhubung ini mempunyai kebolehan untuk meneroka dan menganalisis Data Raya atau Big Data yang dapat dicapai menerusi kewujudan internet berkelajuan tinggi dan Revolusi Industri 4.0 merupakan faktor pemboleh kepada industri ini.

“Teknologi daripada mobiliti terhubung juga dapat meningkatkan ciri-ciri keselamatan kenderaan generasi akan datang seperti sistem untuk memaksa sesebuah kenderaan diperlahankan dalam jarak tertentu dengan kenderaan di hadapan yang sudah pun digunapakai ketika ini.

“Masyarakat luar bandar juga tidak akan ketinggalan dalam memperoleh manfaat visi mobiliti terhubung termasuk menyokong aktiviti pertanian, kesihatan, perikanan, penternakan, perladangan dan lain-lain,” katanya.

Tambah Najib, rakyat berpeluang membangunkan perniagaan berasaskan logistik melalui pendekatan secara logistik pendanaan (crowdsourced) dan pengangkutan multimodal.

Menerusi kemudahan ini juga, penambahan jenis perkhidmatan akan wujud hasil daripada kemudahan perkongsian perjalanan, pengembara terhubung dan lain-lain lagi.

“Kesemua keupayaan baharu ini akan membuka laluan kepada perniagaan baharu dan menjadi pemangkin kepelbagaian perkhidmatan semasa.

“Mobiliti terhubung disasarkan akan melalui peralihan dari satu produk kepada perkhidmatan dan dalam jangka panjang mempunyai kapasiti amat besar untuk membuka peluang perniagaan dan pekerjaan bagi mereka yang mengambil peluang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptamanya pada majlis pelancaran Jerayawara Mobiliti Terhubung dan Malaysia Autoshow 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis perasmian tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri J Jayasiri dan Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pengoperasian Mobility Digital Optimisation Transformation Services (MDOTS) yang telah mula dijayakan sejak awal tahun ini dan diketuai oleh MAI.

MDOTS adalah penyelesaian berasaskan data yang dipacu oleh transformasi digital analitis data bagi revolusi mobiliti sebagai perkhidmatan, yang akan menaik taraf sistem pengangkutan di masa hadapan.

“Saya ingin tuan-tuan dan puan-puan membayangkan pada suatu hari nanti, negara kita akan mempunyai sistem pengangkutan yang kesaling hubung (integrated) dan mengikuti peredaran zaman.”

“Dengan adanya kemajuan dalam sistem pengangkutan dari ciri-ciri futuristik ini sudah semestinya akan membawa manfaat kepada rakyat dari segi kecekapan, peningkatan produktiviti dan pembangunan teknologi,” ujarnya. – MYNEWSHUB.CC/EZ