Industri Durian Berpotensi Tingkat Pendapatan Negara

KUALA LUMPUR – Industri berasaskan durian berpotensi untuk meningkatkan lagi pendapatan negara, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

“Potensi industri durian ini sangat tinggi bagi tujuan meningkatkan pendapatan negara melalui aktiviti import dan eksport.

“Hal ini kerana, kita eksport durian tempatan ke China, Singapura dan Hong Kong setiap tahun. Kita boleh buat lebih banyak produk berasaskan durian untuk tujuan eksport, begitula cara kita mengembangkan pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melepaskan peserta Durian Cyclethon sempena Fiesta Durian 2016 di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Sharifah Hashim.

Fiesta Durian 2016 anjuran FAMA itu diadakan di Dataran Merdeka selama tiga hari bermula 29 Julai dan menjangkakan jumlah jualan durian sebanyak RM1 juta.

Fiesta yang menjadikan KenDurian (Kenduri Durian) sebagai acara utamanya itu menyaksikan pelbagai aktiviti dijalankan seperti jualan durian dan buah-buahan tempatan, jualan produk berasaskan durian, demo masakan menggunakan durian dan pertandingan makan durian.

KenDurian turut diadakan dua hari bermula semalam di Tropikal Garden, Raub, Pahang; Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, Perak dan Dataran Masjid Daerah Barat Daya, Balik Pulau, Pulau Pinang. – BERNAMA