Indeks Gaji Nasional Ukur Perubahan Upah Malaysia

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia akan memulakan kajian untuk membangunkan Indeks Gaji Kebangsaan (NWI) bagi mengukur perubahan upah dan gaji pekerja dalam pasaran buruh Malaysia.

Menterinya Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) itu boleh menjadi panduan kepada majikan dan pelabur dalam merangka struktur dan tahap gaji bagi pekerjaan tertentu, selain menjadi input kepada dasar-dasar sumber manusia.

Katanya pekerja dan pencari kerja juga boleh menggunakan NWI sebagai penanda aras nilai pasaran mereka dan menilai kenaikan gaji sepanjang kerjaya mereka.

“Kerajaan sebagai pembuat dasar boleh menggunaan NWI untuk memantau perubahan gaji dalam ekonomi, input untuk penetapan gaji serta untuk semakan gaji minimum dan input dasar,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata kajian NWI yang akan dijalankan Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) itu adalah berdasarkan kepada kaji selidik setiap suku tahunan yang akan mengumpul maklumat gaji kritikal dan perubahan dari semasa ke semasa.

Riot berkata sebanyak 3,000 pertubuhan sektor swasta dari seluruh negara telah dipilih secara rawak untuk kajian itu antaranya dari sektor perladangan, perlombongan dan pengkuarian; pembuatan; bekalan air, pembentungan; perdagangan borong dan runcit; pentadbiran dan khidmat sokongan; hiburan dan rekreasi; maklumat dan komunikasi; dan hartanah.

Menurutnya 169 jenis pekerjaan juga telah dipilih dan akan digunakan untuk membentuk indeks yang akan mewakili pekerjaan utama di Malaysia.

“Gaji dan upah pekerja sepenuh masa dalam semua kategori pekerjaan daripada pengurus hingga pekerja am diperlukan untuk pembangunan NWI,” jelasnya.

Tambahnya tempoh rujukan bagi kajian pertama adalah pada September lepas dan seterusnya akan dijalankan pada setiap suku tahun sehingga Jun 2017.

Penemuduga yang dilantik oleh kementerian akan menghubungi majikan terpilih untuk mengumpul maklumat yang diperlukan dan maklumat lanjut mengenai kajian itu boleh didapati di wageindex.mohr.gov.my, katanya.

Dalam pada itu, Riot berkata kementerian akan menganjurkan Karnival Kerjaya dan Kemahiran Orang Kelainan Upaya (OKU) 2016 pada 25 Nov ini di Hotel Aloft, Kl Sentral bermula 9 pagi hingga 4.30 petang.

Katanya 20 majikan akan membuka kaunter temu duga yang menawarkan pekerjaan kepada OKU dari peringkat pendidikan rendah sehingga lulusan Institusi Pengajian Tinggi.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Urus Setia Karnival di talian 03-8886 5153/ 5144/ 5145 untuk mendapatkan maklumat lanjut. – BERNAMA

Loading...