Indeks Gaji Kebangsaan Dilancarkan

PUTRAJAYA – Indeks Gaji Kebangsaan (NWI) yang dilancarkan hari ini akan menjadi garis panduan bagi mengukur perubahan upah dan gaji pekerja di pasaran buruh Malaysia, kata Menteri Sumber Manusia, M.Kulasegaran.

Indeks itu, yang pertama di negara ini, merupakan satu daripada 11 inisiatif konsolidasi pasaran buruh di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (11MP) dalam bidang-bidang prioriti meningkatkan produktiviti, mendorong pewujudan kerja dan menaikkan struktur gaji, kata beliau.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan NWI, Kulasegaran berkata, majikan boleh menggunakannya sebagai panduan dalam menetapkan tahap gaji untuk pelarasan dan sebagai input kepada dasar sumber manusia mereka.

“Pekerja dan pencari kerja boleh menilai perubahan gaji mereka dengan trend pasaran buruh yang lebih luas dan dalam laluan kerjaya mereka,” kata beliau.

Sebagai pembuat dasar, kata Kulasegaran, kerajaan boleh menggunakan NWI untuk memantau pelarasan gaji, sebagai input bagi menetapkan gaji dan menyemak gaji minimum untuk pertimbangan dasar. – BERNAMA