GEORGE TOWN – Seramai 35 warga asing termasuk 14 wanita ditahan Jabatan Imigresen Pulau Pinang (JIPP) dalam Op Ikrar yang dijalankan sekitar George Town dan Bayan Lepas, dekat sini semalam.
Timbalan Penolong Pengarah JIPP Fairuz Ismail berkata dalam operasi yang dijalankan dari 4 petang hingga 10 malam itu, pihaknya membuat pemeriksaan di beberapa lokasi restoran, kedai makan dan tapak pembinaan sekitar George Town, Jelutong, Sungai Ara serta Bayan Lepas.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 18 warga Thailand termasuk lapan wanita, enam wanita (Indonesia), masing-masing tiga lelaki warga Bangladesh, India dan Pakistan serta dua lelaki Myanmar,” katanya.
Fairuz berkata kesemua yang ditahan berusia antara 20 dan 45 tahun kerana tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa, tiada permit kerja dan menyalah guna pas lawatan sosial.
Beliau berkata 35 warga asing itu dibawa balik ke pejabat JIPP untuk didokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Juru bagi siasatan lanjut. – BERNAMA