Imigresen Laksana Pengeluaran PMA Baharu

PUTRAJAYA – Perkhidmatan permohonan dan pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu telah dilaksanakan di Australia bermula semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata hari pertama perkhidmatan secara rasmi yang dilaksanakan di Pejabat Atase Imigresen Melbourne itu menyaksikan 45 PMA dicetak dan diserahkan kepada pemohon tanpa sebarang masalah.

Konsulat Jeneral (CG) Malaysia di Melbourne Westmoreland Palon telah menyerahkan PMA versi baharu itu kepada penerima pertama iaitu seorang lelaki memegang status penduduk tetap Australia pada 10.50 pagi (waktu tempatan), katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Majlis ringkas itu turut disaksikan wakil Jabatan Imigresen Malaysia iaitu Pengarah Imigresen Pulau Pinang Meor Hezbullah Meor Abd Malik, Timbalan Pengarah Imigresen Sabah Salmi Farina Salim serta pegawai-pegawai konsular di Melbourne.

Dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 11 Jan lepas, PMA versi baharu itu dilengkapi dengan tambahan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan seperti penggunaan biometrik dan pengenalan wajah selaras dengan piawaian yang ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Mustafar berkata sebanyak 2,056,972 PMA telah dikeluarkan sepanjang tahun lepas di Malaysia dan wakil-wakil Imigresen di luar negara, manakala sejumlah 162,672 PMA versi baharu dikeluarkan bermula 15 Nov lepas sehingga hari ini. – BERNAMA

Loading...