Imigresen Kedah Tahan 22 PATI Dalam Dua Operasi

ALOR SETAR – Imigresen Kedah menahan 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara dalam Ops Sapu dan Ops Mahir di dua lokasi berasingan di sekitar Alor Setar semalam dan awal pagi tadi.

Pengarah Imigresen Kedah Mohamad Yusri Hashim berkata 12 lelaki Bangladesh serta empat lelaki Myanmar berumur 24 hingga 37 tahun ditahan di dua buah kilang di Kawasan Perusahaan Mergong, dalam Ops Mahir yang dijalankan 4.10 petang semalam.

Beliau berkata tiga lelaki Bangladesh dan tiga wanita Indonesia berumur 24 hingga 40 tahun pula ditahan atas pelbagai kesalahan di dua buah rumah sewa sekitar Alor Setar dalam Ops Sapu 1.30 pagi tadi.

Mohamad Yusri berkata seorang lelaki tempatan berumur 46 tahun yang merupakan majikan kepada PATI berkenaan turut ditahan kerana melindungi mereka.

Semua PATI ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik. – BERNAMA