Imigresen Kedah Tahan 17 Warga Thailand Dalam ‘Op Ikrar’

ALOR SETAR – Imigresen Kedah menahan 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand dalam ‘Op Ikrar’ yang dijalankan di empat premis restoran tomyam di sekitar Alor Setar, semalam.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kedah Mohd Shahrir Khalil berkata dalam operasi yang dijalankan pada 6.40 petang itu, tujuh lelaki dan 10 wanita warga Thailand berusia 16 hingga 32 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan dilakukan mereka ialah tiada dokumen perjalanan yang sah serta salah guna pas perjalanan.

“Ini menunjukkan kesemua warga asing tersebut masuk untuk bekerja dan tidak menggunakan saluran betul.

Majikan perlu pandang serius berkenaan permohonan pas yang bersesuaian untuk pekerja mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Shahrir berkata semua yang ditahan ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik. – BERNAMA