Identiti Warga Bangladesh Rentung Disiasat

TAPAH – Polis sedang menyiasat identiti seorang lelaki warga Bangladesh yang ditemukan rentung dalam kebakaran rumah kongsi pekerja di tapak Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA), Kampung Tanah Mas, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw berkata selepas kejadian pada kira-kira 2.45 pagi itu, seorang penyelia tapak berumur 27 tahun telah mengarahkan 23 ketua mengumpul kesemua pekerja dan mendapati kesemua 157 pekerja asal tapak itu cukup.

Menurutnya, mangsa tanpa dokumen pengenalan diri itu ditemukan semasa pemeriksaan lanjut sebaik kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira 5.40 pagi tadi.

“Kita masih lagi menyiasat sama ada lelaki tersebut pekerja di kawasan itu atau tidak,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan kes masih disiasat serta diklasifikasikan sebagai laporan kebakaran dan mati mengejut.

Menurut Som Sak, kebakaran yang melibatkan lapan dari 14 blok rumah kongsi itu dipercayai mengalami kerugian mencecah hampir RM100,000.

“Semasa kejadian kebanyakan pekerja tapak perumahan sedang tidur dan kebakaran dipercayai akibat litar pintas di blok tengah rumah kongsi tersebut yang tiada penghuni,” katanya. – BERNAMA