Ibu Muda Antara 21 Penagih Ditahan Di Tanjung Lumpur

KUANTAN – Seorang ibu tunggal antara 21 individu yang ditahan ketika sedang khayal menagih dadah di sebuah kawasan paya di Tanjung Lumpur dalam Ops Tapis di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata, ibu tunggal berkenaan merupakan satu-satunya wanita yang ditahan dan merupakan penagih paling muda iaitu 26 tahun.

“Semua penagih yang ditahan berkenaan berusia lingkungan 26 hingga 42 tahun dan mereka ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 15(1) dan Seksyen 31 Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Lokasi serbuan berkenaan juga merupakan kawasan panas yang sering menjadi pilihan penagih untuk kegiatan melepaskan ketagihan,” katanya kepada pemberita yang turut serta dalam operasi berkenaan di lokasi terbabit.

Katanya, dalam serbuan itu polis turut merampas 10 buah motosikal dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan oleh penagih terbabit.

Operasi selama lima jam bermula pukul enam pagi itu melibatkan seramai 14 anggota polis dan tujuh anggota Agensi Anti-Dadah Kebangsaan. – BERNAMA

Loading...