Ibu Bapa Perlu Semak Latar Belakang Pengasuh

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan ibu bapa untuk membuat semakan latar belakang penjaga anak terlebih dahulu bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini.

Merujuk kepada kes bayi lelaki sembilan bulan yang didera di Sibu sehingga menyebabkan kematian, Dr. Wan Azizah menzahirkan rasa dukacita atas insiden itu.

“Saya faham dalam beberapa keadaan anda tidak boleh begitu memilih tetapi anda boleh lebih berhati-hati kepada siapa anda hantarkan anak untuk dijaga,” katanya.

“Program bagi membolehkan ibu bapa semak latar belakang pengasuh yang akan dilancarkan Mac ini boleh membantu mengurangkan insiden seumpama itu,” katanya selepas melancarkan Program Hentikan Halangan Untuk Melakukan Skrin Serviks (R.O.S.E) di sini.

Semalam, Aariz Harraz Zahin Azman yang kritikal selepas dipercayai didera pengasuhnya di Taman Permai, Sibu meninggal dunia di Hospital Sibu. – BERNAMA

Loading...