Hukuman Terhadap Repco Low Ditangguh, Peguam Cuti Sakit

KUALA LUMPUR – Hukuman terhadap ‘Repco Low’ yang didapati bersalah atas pertuduhan cuba mengelirukan pasaran saham pada 1997, ditangguhkan hari ini selepas peguam utama bekas Pengerusi Eksekutif Repco Holdings Bhd itu cuti sakit.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang menyebut bagi pihak Edmund Bon, memaklumkan Mahkamah Sesyen bahawa Bon masih sakit dan memerlukan rehat yang panjang sebelum memohon prosiding hari ini ditangguhkan ke tarikh lain.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Sekuriti Ros Mawar Rozain berkata pihaknya bersedia untuk keputusan, bagaimanapun ia terpulang kepada budi bicara mahkamah.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan permohonan Muhammad Shafee dan menetapkan 15 Feb ini untuk menjatuhi hukuman.

“Memandangkan hari ini ditetapkan untuk hukuman, 15 Feb ini merupakan penangguhan yang terakhir,” katanya.

Sebelum ini Bon memohon untuk menangguhkan prosiding jatuh hukum itu bagi memberi masa untuknya membuat rayuan lengkap untuk meringankan hukuman.

Pada 11 Jan lepas, Low Thiam Hock, 54, didapati bersalah terhadap pertuduhan itu selepas mahkamah memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Pada 1999, Low dituduh di Mahkamah Sesyen kerana didakwa mengarahkan seorang wakil Sime Securities Sdn Bhd untuk membeli saham Repco Holdings dengan menyerap apa-apa harga tawaran saham itu yang ditawarkan oleh penjual saham di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Perbuatan itu didakwa boleh menimbulkan kekeliruan berhubung harga saham Repco di pasaran.

Low dari Kota Kinabalu, Sabah, didakwa melakukan kesalahan itu di Sime Securities, Tingkat 21, Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, antara 11 pagi dan 5 petang, 3 Dis 1997.

Pertuduhan mengikut Seksyen 84(1) Akta Industri Sekuriti 1983 dibaca bersama Seksyen 88(b) akta sama itu memperuntukkan hukuman minimum denda RM1 juta dan penjara sehingga 10 tahun.

Pada 14 Nov 2006, Mahkamah Sesyen melepaskan Low daripada pertuduhan itu tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pertuduhan itu adalah cacat.

Pada 15 Okt 2010, Mahkamah Tinggi menolak rayuan pendakwaan dan mengekalkan pembebasan Low, bagaimanapun pada 28 Feb 2013, Mahkamah Rayuan memerintahkan Low membela diri terhadap pertuduhan cuba mengelirukan pasaran saham itu.

Panel tiga anggota yang ketika itu diketuai Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2006 yang membebaskannya tanpa dipanggil membela diri. – BERNAMA

Loading...