Hong Leong Sedia RM2.5 Bilion Pembangunan PKS

KUALA LUMPUR – Hong Leong Bank Bhd. memperuntukkan RM2.5 bilion untuk membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam tahun kewangan berikutnya, bermula 1 Julai, 2018.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Domenic Fuda, berkata PKS memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang dijangkakan meningkat pada masa akan datang.

“Ketika ini PKS menyumbang 37 peratus kepada KDNK dan dijangka melebihi 40 peratus pada masa depan.

“Jadi, amat penting kepada PKS memiliki medium yang tepat untuk perniagaannya terutama dalam era digital ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran penyelesaian perniagaan digital Hong Leong hari ini.

Perkhidmatan itu menawarkan pelbagai medium iaitu HL ConnectsLite,yang menghubungkan PKS menerusi platform tunggal, Biztory (e-perakaunan dan penyelesaian invois), Kakitangan (platform sumber manusia), SimpleTax (alat cukai dalam talian) dan Digital Advert (penayangan digital di luar melibatkan 3,500 skrin di seluruh negara).

Harga untuk Digital Advert ialah serendah RM288 seminggu di tiga lokasi utama iaitu Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

“Perkhidmatan tersebut akan menjadikan mereka lebih kompetitif, tangkas dan berkesan di pasaran,” kata Fuda.

Sementara itu, Pengurus Besar Hong Leong Group SME Banking, Terrance Teoh berkata RM1 bilion diperuntukkan kepada SMElite, bagi menyokong pengembangan pembiayaan hartanah dan keperluan modal kerja dalam PKS.

“Kami menyasarkan 5,000 PKS untuk 12 bulan pertama. Skim ini dijamin oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd. menerusi Skim Jaminan Portfolio,” katanya.

SMElite akan melayakkan PKS untuk mendapat pinjaman sehingga RM5 juta bagi pembelian hartanah dan pembiayaan semula dengan keperluan modal kerja sehingga 150 peratus margin pembiayaan.

“Kami percaya skim itu bakal menarik perhatian pelanggan PKS yang berhasrat meluaskan perniagaan mereka secara fizikal dan melihat kepada penyelesaian estet sebenar.

“Pelanggan bukan hanya menerima harta yang relevan untuk tujuan pengembangan, malah akan mempunyai akses terhadap modal kerja bagi memulakan pengembangan perbelanjaan seperti penempatan semula, pengubahsuaian dan kos lain yang berkaitan,” kata Teoh. – BERNAMA

Loading...