Hierro Akui Benteng La Roja Goyah Berdepan Rusia

KALININGRAD – Pengendali Sepanyol, Fernando Hierro berkata pasukannya harus bertahan dengan lebih baik selepas bangkit mengikat Maghribi 2-2 menerusi bantuan VAR untuk menempah pertemuan 16 terakhir berdepan tuan rumah Rusia.

Jaringan masa kecederaan daripada penyerang Iago Aspas melengkapkan aksi dramatik Kumpulan B yang menyaksikan La Roja unggul mendahului kumpulan selepas Iran mengikat Portugal 1-1 di Saransk.

Hierro bagaimanapun berkata pasukannya perlu berusaha memperbaiki kelemahan di bahagian pertahanan berikutan juara dunia 2010 itu melepaskan lima gol sepanjang tiga aksi kumpulan.

“Jelas sekali kami masih boleh menunjukkan peningkatan. Lima gol daripada tiga perlawanan adalah rekod yang tidak baik. Pemain amat profesional, mereka faham dengan situasi terjadi,” katanya kepada pemberita.

Maghribi mendahului pada minit ke-14 apabila Khalid Boutaib mengambil kesempatan di atas kecelaruan antara Sergio Ramos dan Andres Iniesta untuk menolak masuk bola di celah kaki penjaga gol Sepanyol, David de Gea.

Keadaan semakin parah buat La Roja, apabila Boutaib terlepas peluang keemasan untuk meletakkan Maghribi sekali lagi di depan selepas Isco mengikat kedudukan.

Percubaan rendah penyerang itu diselamatkan De Gea selepas kali ini Ramos dan Gerard Pique pula gagal membaca baik bola lontaran ke dalam.

Bagaimanapun, Hierro menolak untuk mengkritik barisan pemainnya tetapi berjanji bahawa pasukannya akan bekerjasama untuk memperbaiki kelemahan terbabit. – AFP

Loading...