Henti Tular Berita Budak Diculik Di Terengganu – Polis

KUALA TERENGGANU – Orang ramai diminta segera menghentikan penyebaran mesej palsu berkenaan cubaan menculik kanak-kanak di Kampung Banggol Peradong, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Md Din berkata berita yang tular beberapa hari lepas itu adalah palsu dan pihaknya tidak pernah menerima laporan mengenai perkara itu.

Beliau berkata polis akan memanggil beberapa pemilik akaun media sosial yang disyaki menyebarkan berita itu sehingga mencetuskan panik dan resah dalam kalangan masyarakat terutama ibu bapa.

“Saya minta ibu bapa jangan takut dan bimbang kerana penularan mesej mengenai kes culik kanak-kanak ini dah selalu berlaku tetapi kami tak pernah terima laporan daripada mana-mana pihak.

“Untuk makluman, polis sentiasa menjalankan rondaan cegah jenayah di semua kawasan termasuk di tempat yang didakwa berlaku cubaan culik bagi memastikan keselamatan orang ramai terjaga,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata penularan mesej itu susulan kes pencerobohan di sebuah rumah di Taman Perumahan Wakaf Tembusu, Gong Badak pada 21 Feb lalu melibatkan empat lelaki yang menaiki sebuah van bewarna kelabu.

Beliau berkata kes itu tidak diklasifikasi sebagai kes culik kerana suspek tidak sempat berbuat apa-apa dan tiada kerugian dilaporkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh namun sehingga kini masih tiada tangkapan. – BERNAMA

Loading...