Hati-Hati Pilih Tawaran Pakej Umrah Dan Haji

HULU TERENGGANU – Umat Islam yang ingin mengerjakan ibadah haji dan umrah perlu lebih berhati-hati dalam memilih pakej yang ditawarkan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata orang ramai perlu memastikan syarikat yang menawarkan pakej tersebut berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sebelum mendaftar dan membuat bayaran.

“Sejak dua menjak ini kita dapati banyak syarikat-syarikat yang tidak berlesen dan cuba mengambil kesempatan dengan mencari keuntungan yang mana menawarkan pakej umrah palsu.

“Mana-mana syarikat yang menganjurkan program ziarah sama ada umrah atau haji perlu mendapat lesen daripada Kementerian Pelancongan dan orang ramai perlu meneliti latar belakang syarikat terlebih dahulu sama ada mereka berdaftar atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persediaan Yayasan Terengganu ke Institusi Pengajian Tinggi peringkat Matrikulasi dan Diploma Bagi Sesi 2016/2017 untuk Parlimen Hulu Terengganu di sini hari ini.

Jailani yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu berkata kebanyakan syarikat yang membuat tawaran pakej umrah dan haji menggunakan internet serta media sosial seperti Facebook dan blog untuk mengiklankan pakej yang ditawarkan syarikat masing-masing.

“Syarikat-syarikat ini membuat iklan di media sosial dengan menawarkan pakej-pakej yang menarik dan harga yang lebih murah hingga menyebabkan orang ramai mudah terpedaya dan percaya…jadi saya minta supaya individu yang ingin mengerjakan umrah dan haji supaya berhati-hati,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jailani berkata pihaknya bersedia untuk menjalankan siasatan mengenai gambar tiga individu yang diambil dalam air seolah-olah sedang solat sekiranya ada aduan dibuat.

Gambar berkenaan disebar menerusi Facebook sejak semalam dan ia mendapat kecaman daripada pengguna Internet dan media sosial.

“Kita tak tahu sejauh mana kesahihan perkara ini tetapi sekiranya perkara ini diadukan kepada pihak berwajib sama ada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kita bersedia membantu menyiasat dari segi teknikal perkara tersebut.

“Saya rasa perkara sebegini yang tak memberi faedah kepada mana-mana pihak tidak harus diviralkan kerana pada saya ia seolah-olah lebih kepada penghinaan agama…seharusnya mereka yang terlibat diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Yayasan Terengganu Wan Mohd Nasir Wan Jusoh berkata hampir RM200,000 diagihkan kepada 198 pelajar di kawasan Parlimen itu hari ini.

“Seramai 128 penerima merupakan pelajar yang melanjutkan pelajaran di peringkat diploma manakala 70 lagi pelajar melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi.

“Bagi pelajar diploma, kita berikan bantuan sebanyak RM1,500 seorang yang mana RM750 untuk bantuan melanjutkan pelajaran manakala RM500 lagi untuk pembelian komputer manakala untuk matrikulasi, sebanyak RM500 diberikan untuk seorang pelajar,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply