Harga Jalur Lebar Tidak Dikurangkan

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengumumkan bahawa harga jalur lebar tidak akan dikurangkan lagi pada tahun ini.

Beliau berkata, langkah itu diambil selepas kementerian telah mencapai sasaran meningkatkan kelajuannya sebanyak dua kali ganda dan pada masa yang sama, mengurangkan harga kepada separuh.

“Bila kita bermula dahulu, kita mahu meningkatkan kelajuan kepada dua kali ganda dan mengurangkan harga. Apa yang berlaku selepas itu adalah semua syarikat telekomunikasi telah menurunkan harga dengan ketara.

“Jika anda bertanya kepada saya, sasaran tersebut sudah pun dicapai,” katanya kepada pemberita selepas lawatan sulung beliau ke Ibu Pejabat Telekom Malaysia Bhd. (TM) di sini hari ini.

Gobind pada awal tahun ini berkata, negara telah berjaya memenuhi sasaran penurunan harga jalur lebar sebanyak 25 peratus pada 2018.

Menteri itu menjelaskan kebanyakan syarikat-syarikat telekomunikasi seperti Celcom Axiata Bhd., Maxis Bhd. dan TIME dotCom Bhd telah menurunkan harga jalur lebar mereka sebanyak 30 peratus hingga 65 peratus.

Sementara itu, Gobind juga berkata, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menjadi satu-satunya syarikat yang menyampaikan cadangan untuk membina infrastruktur gentian optik.

“Hanya TNB yang menyampaikan cadangan itu. Pada dasarnya, ia merupakan sebuah syarikat tempatan yang mempunyai infrastruktur sedia ada dan berfungsi di Malaysia.

“Itulah sebabnya mengapa kita sedang mengkaji kemungkinan sebuah projek perintis di Jasin baru-baru ini,” katanya.

Projek perintis TNB selama tiga bulan di Jasin telah dilaksanakan melalui inisiatif Pelan Ketersambungan dan Fiberi Nasional yang diumumkan semasa Bajet 2019. – BERNAMA