Harga Durian Dijangka Meningkat Sekali Ganda

19

JASIN: Peminat durian di negara ini perlu bersedia dengan kenaikan harga raja buah itu yang dijangka melonjak mendadak sehingga sekali ganda tahun ini.

Ikuti Mynewshub: Facebook,TwitterTikTokTelegram, Instagram

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ia susulan pengeluaran buah durian di setiap lokasi penanaman seluruh negara didapati berkurangan melebihi 50 peratus, berpunca keadaan cuaca tidak menentu sejak awal tahun ini.

Selain itu, katanya peningkatan kos baja serta masalah berkaitan pekerja ladang turut menjadi antara faktor kenaikan harga buah berkenaan.

Justeru beliau menjangkakan harga durian sebagai contoh jenis ‘Black Thorn’ atau Duri Hitam akan mencecah RM100 sekilogram, manakala Musang King pula mengalami kenaikan antara RM60 hingga RM80 mengikut gred berbanding RM30 hingga RM40 sebelum ini.

“Sepatutnya musim durian sudah bermula bulan ini, namun disebabkan faktor cuaca dan beberapa faktor lain, maka pengeluarannya terbantut menyebabkan permintaan terhadap raja buah itu semakin meningkat.

“Disebabkan permintaan meningkat dan produk kurang, maka kita menjangkakan harga buah berkenaan akan melonjak sekurang-kurangnya satu kali ganda berbanding harga pasaran ketika ini,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya sempena Aidilfitri di Serkam di sini hari ini.


Beliau berkata, setakat ini dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Perak sudah mengalami kekurangan pengeluaran durian sehingga 50 peratus, manakala lokasi lain pula kebanyakan pokok masih berputik dan akan menunjukkan hasil dalam tempoh beberapa minggu lagi.

“Persatuan Penanam Durian juga ada memaklumkan kepada kita mereka mungkin akan naikkan harga durian termasuk durian pilihan utama seperti Duri Hitam dan Musang King, selain beberapa jenis durian kampung,” katanya.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan sebelum ini, memaklumkan harga durian akan meningkat sehingga sekitar 30 peratus tahun ini disebabkan pengeluaran durian yang sedikit berkurangan, selain harga baja yang meningkat naik.

Musim hujan pada penghujung Mac hingga April juga dilihat memberikan kesan pada pengeluaran durian, sekali gus menyebabkan hasil tanaman itu berkurangan berbanding tahun lalu.

BHonline-