Hanya 3 Pusat Asuhan Semak Senarai Pekerja

TUMPAT – Hanya tiga pusat asuhan kanak-kanak merujuk kepada rekod senarai pesalah eksploitasi kanak-kanak bagi mengesahkan status pekerja mereka walaupun rekod itu wujud sejak tahun lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pihaknya telah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mewujudkan satu daftar khas yang merekodkan individu-individu tertentu yang mempunyai pelbagai kesalahan membabitkan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

“Seramai 102 individu telah direkodkan di bawah daftar khusus tersebut iaitu mereka yang telah didakwa dan disabitkan bersalah di mahkamah kerana mengeksploitasi kanak-kanak, yang membabitkan sebanyak 1,154 kes,” katanya.

Mana-mana pihak yang ingin mengambil pekerja baharu atau menyemak kesalahan lampau pekerja sedia ada boleh berbuat demikian di pejabat-pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terdekat dengan mengemukakan nama dan nombor kad pengenalan pekerja, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Taska Peringkat Kebangsaan 2017 dan Pelancaran Massive Open Online Courses (MOCC) di Pantai Tujuh di sini hari ini.

“Walaupun daftar khusus tersebut telah diwujudkan sejak tahun lepas namun setakat ini hanya tiga pengusaha merujuk perkara berkenaan kepada JKM.

Rohani berkata ia merupakan satu langkah tambahan bagi mencegah kanak-kanak daripada diekploitasi, namun terpulang kepada majikan jika mahu mengambil juga pekerja yang mempunyai rekod jenayah membabitkan golongan bawah umur.

“Ia merupakan satu usaha daripada kerajaan untuk menapis mereka yang terbabit dengan kegiatan jenayah yang membabitkan kanak-kanak dan ia diberikan secara percuma. Bagaimanapun kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyekat majikan daripada menggaji pekerja sedemikian,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Rohani berkata MOCC merupakan satu program alternatif kepada pengasuh di pusat asuhan kanak-kanak untuk mengikuti Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA (KAP) secara dalam talian tanpa menghadiri kelas.

“Melalui kaedah MOCC ini, ia dijangka dapat mengatasi kekurangan pengasuh kanak-kanak berdaftar dan terlatih yang dihadapi dalam industri asuhan dan didikan awal kanak-kanak.

“Bagaimanapun, JKM tidak berkompromi dalam hal berkaitan dengan kualiti. Praktikum di pusat asuhan dan peperiksaan tetap diadakan kepada peserta,” katanya. – BERNAMA