Hanya 2 Mata Pisahkan Nur Dhabitah Raih Gangsa

JAKARTA – Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri dan Leong Mun Yee masing-masing menamatkan saingan final acara 1 meter (m) papan…

JAKARTA – Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri dan Leong Mun Yee masing-masing menamatkan saingan final acara 1 meter (m) papan anjal individu di tempat keempat dan kelapan pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, malam ini.

Nur Dhabitah yang telah merangkul pingat perak dalam acara 3m papan anjal seirama bersama Ng Yan Yee dan gangsa ketika turun bergandingan dengan Mun Yee dalam 10m platform seirama sebelum ini, memperoleh 263.05 mata, hanya dipisahkan dua mata daripada markah pemenang pingat gangsa.

“Saya turun hari ini dengan keyakinan yang tinggi dapat raih pingat untuk negara dan saya akui persembahan saya dalam saingan akhir lebih baik berbanding pusingan kelayakan pada sebelah pagi.

Tetapi saya tak tahu kenapa markah yang diberikan pada terjunan ketiga dan keempat rendah…mungkin bukan rezeki saya untuk memenangi lagi satu pingat untuk negara malam ini,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas tamat acara di sini, hari ini.

Kedudukan teratas podium acara itu didominasi penerjun dari China menerusi Wang Han yang mengumpul 323.55 mata untuk memenangi emas meninggalkan rakan sengara Chen Yiwen yang meraih perak (306.50) manakala gangsa milik penerjun Korea Selatan Kim Suji dengan 265.35 mata.

Sementara itu, Mun Yee yang hanya berjaya mengumpul 224.60 mata selepas melakukan lima terjunan berada di kedudukan kelapan daripada keseluruhan 12 penerjun.

Mengulas lanjut, Nur Dhabitah yang kali pertama beraksi pada temasya sukan terbesar di Asia itu berharap dapat menyumbang sebutir lagi pingat untuk negara apabila turun beraksi dalam acara 3m papan anjal individu, esok. – BERNAMA

Loading...