Hakim Tarik Diri Daripada Dengar Kes Rayuan Khairuddin, Chang

PUTRAJAYA – Seorang daripada tiga hakim yang menganggotai panel Mahkamah Rayuan hari ini menarik diri daripada mendengar rayuan pihak pendakwa terhadap perintah mahkamah yang membebaskan dengan ikat jamin bekas naib ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam, Matthias Chang.

Datuk Mohd. Zawawi Salleh berkata beliau berjiran dengan keluarga kakak sulung Khairuddin dan mengenalinya dengan “amat rapat”.

“Saya perlu menarik diri. Kami perlu pelihara integriti mahkamah dan perlu dilihat tidak memihak untuk mewujudkan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran keadilan.

“Kami tidak mahu ada anggota masyarakat melemparkan fitnah terhadap mahkamah dan ini meletakkan saya dalam keadaan sukar sekiranya saya mendengar rayuan berkenaan,” katanya.

Khairuddin, 53, dan Chang, 65, menghadapi tuduhan cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan Malaysia mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Mohd Zawawi kemudian menangguhkan pendengaran yang dijadualkan diadakan hari ini kepada tarikh lain untuk membolehkan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md. Raus Sharif membentuk panel baharu, tanpa beliau, untuk mendengar rayuan itu.

Beliau bersidang bersama-sama Hakim Tan Sri Idrus Harun dan Hakim Vernon Ong Lam Kiat.

Pengurusan kes akan diadakan pada 7 Mac bagi menetapkan tarikh pendengaran kes itu.

Permohonan penarikan diri Mohd. Zawawi dibuat di mahkamah itu hari ini oleh peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Khairuddin.

Sementara itu, Mohd. Zawawi berkata adalah tidak kena bagi mahkamah itu membenarkan Mahkamah Tinggi menangguhkan keputusannya.

Timbalan Pendakwa Raya Awang Amardajaya Awang Mahmud memohon penangguhan penghakiman Mahkamah Tinggi berhubung kebolehgunaan undang-undang berkenaan, dengan berkata keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi akan mempunyai kesan meluas terhadap kes SOSMA dan keselamatan lain.

Pada 18 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa tuduhan mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan yang dihadapi Khairuddin dan Chang bukan kesalahan keselamatan serta tidak termasuk di bawah SOSMA dan oleh itu, kedua-dua mereka boleh dibebaskan dengan ikat jamin.

Kesalahan di bawah SOSMA tidak boleh diikat jamin.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin menetapkan ikat jamin bagi setiap mereka sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport mereka diserah kepada mahkamah.

Pihak pendakwa merayu terhadap keputusan itu.

Khairuddin dan Chang dituduh cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan Malaysia di lima lokasi antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun lepas.

Lokasi itu ialah pejabat ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris; Balai Polis Charing Cross, London, United Kingdom; pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern; Balai Polis WaiChan, Hongkong; dan Ibu Pejabat Kantomen Polis, Singapura.

Kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama, jika disabitkan kesalahan.

Mohammed Haniff berkata, pada hari pendengaran rayuan itu, mahkamah akan terlebih dahulu mendengar permohonan mereka tentang kesahan notis rayuan pendakwa.

Chang diwakili peguam Zainur Zakaria. – BERNAMA

Loading...