Haier Lancar Pusat Pameran Konsep Baharu Di Puchong

KUALA LUMPUR – Jenama perkakasan elektronik rumah China, Haier, melancarkan pusat pameran baharu bagi kemudahan pelanggan menyelami ciri peralatan berkenaan di Setiawalk, Puchong, dekat sini.

Pengarah Urusan Haier Electrical Appliances ((M) Sdn Bhd, Shi Zhiyuan berkata syarikat itu juga menyasarkan untuk membuka dua lagi pusat seumpamanya di Johor Bahru dan Pulau Pinang, tahun ini.

Malah, katanya, kira-kira RM1 juta telah diperuntukkan bagi membuka tiga lagi pusat yang mempamerkan pelbagai produk segmen peringkat pertengahan sehingga mewah dengan tumpuan kepada peti sejuk, mesin basuh, sistem pendingin hawa, penyejuk beku bagi penggunaan domestik dan komersial, set televisyen pemancar cahaya diod dan perkakasan kecil lain.

​​​​“Kita telah mengambil kira keinginan pelanggan dan amat maklum dengan kemahuan mereka untuk menyentuh dan merasai sendiri pengalaman menggunakan produk terbabit.

“Oleh itu, pusat ini amat sesuai untuk kalangan pemilik rumah dan pembeli rumah baharu kerana membolehkan mereka melihat dan menggunakan produk serta penyelesaian yang kita tawarkan,” katanya pada majlis pelancaran Pusat Pengalaman Haier di sini, hari ini.

Beliau berkata, premis itu juga berperanan sebagai pusat kecemerlangan dan pendidikan untuk pelanggan jenama itu, khususnya dalam kalangan pengedar dan rakan niaganya.

Pusat itu juga akan mengetengahkan produk berteknologi dan berinovasi, katanya.

Shi berkata sekumpulan profesional runcit yang berpengetahuan akan berkongsi maklumat pakar serta nasihat menerusi kaedah demonstrasi, rundingan dan sokongan membabitkan rangkaian produk Haier tersebut​​​​​​​. – BERNAMA

Loading...