Haflin Lancar Buku Sulung, Pertama Kali Kongsi Gambar Anak

KUALA LUMPUR – Isteri bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz iaitu Datin Seri Haflin Nazri Aziz melancarkan buku pertamanya di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Haflin berkata, buku ‘Cook With Love Bon Appetit’ itu dihasilkan bagi memberikan inspirasi kepada pembaca melalui pelbagai idea untuk menyediakan hidangan sihat dan bernutrisi.

“Saya nak menggalakkan wanita menumpukan perhatian ke atas penyediaan makanan yang sihat untuk suami, anak-anak dan orang tersayang.

“Dalam buku ini, saya ketengahkan resipi sajian sarapan pagi, makan tengah hari dan malam yang saya sediakan sendiri untuk keluarga,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran tersebut.

Jelas bekas pengacara televisyen itu, buku tersebut merupakan naskhah sulungnya yang dihasilkan sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepadanya.

“Pengikut saya di Instagram yang memberi inspirasi kepada saya untuk menghasilkan buku ini.

“Mereka selalu minta saya kongsi menu yang saya sediakan untuk keluarga ketika saya bercuti selama dua bulan di luar negara,” ujarnya.

Buku edisi terhad setebal 52 muka surat itu dijual pada harga RM146 senaskhah dan boleh dibeli secara dalam talian di www.we-love.store.

Selain berkongsi tentang resipi sajian sihat, buku tersebut juga mempunyai kisah peribadi berkaitan diri Haflin.

Katanya, sebelum ini dia tidak pernah berkongsi wajah anak lelakinya kepada umum.

Namun selepas tiga tahun bergelar ibu, Haflin berkongsi gambar si comel itu buat pertama kalinya secara terbuka istimewa buat peminat setianya. – mStar Online

Loading...