Guru Anak Tempatan Sabah Berkurangan – Jabatan Pendidikan

LIKAS – Kekurangan guru anak tempatan yang mengajar pendidikan Islam di Sabah ketika ini berada pada tahap kritikal, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPNS), Datuk Jame Alip.

Beliau berkata sehingga kini sekolah masih memerlukan guru agama dari negeri lain.

“Misalnya di Likas, terdapat 11 buah sekolah agama, tetapi mereka yang belajar aliran agama tidak ramai yang mahu menjadi ustaz atau ustazah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif pengumpulan data 90:10 peringkat negeri Sabah di Likas hari ini.

Beliau berkata Sabah juga kekurangan guru tempatan yang mengajar aliran lain termasuk sains dan kaunseling.

“Kita memerlukan lebih 200 guru mengajar sains di samping guru kaunseling,” katanya.

Sementara itu Jame berkata setakat 1 Okt ini, seramai 2,284 guru yang mengajar di Sabah telah memohon untuk balik mengajar ke negeri masing-masing.

“Pada tahun hadapan kita ada ramai guru yang memohon untuk balik mengajar di negeri masing-masing berbanding 394 guru yang berasal dari Sabah yang mengajar di negeri lain dan juga memohon untuk balik ke sini,” kata Jame.

Beliau berkata kini terdapat kekosongan lebih 1,000 guru ekoran mereka balik ke negeri masing-masing.

Inisiatif pengumpulan data adalah untuk mengumpul data graduan pendidikan yang tercicir dan berminat menjadi guru, katanya.

“Ia bagi merealisasikan hasrat untuk memperoleh 90 peratus guru di Sabah terdiri daripada anak tempatan dalam tempoh tiga tahun akan datang,” tambahnya.

Jame berkata JPNS menyasarkan 17.9 peratus atau 2,621 guru sekolah menengah manakala 9.8 peratus atau 2,589 guru sekolah rendah terdiri dari kalangan anak tempatan. – BERNAMA

Loading...