Grab, Palang Merah Jalin Kerjasama Kumpul Dana

KUALA LUMPUR – Grab bersama Persekutuan Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) hari ini mengumumkan kerjasama untuk mengumpulkan dana bagi membantu golongan memerlukan, termasuk mereka yang terjejas oleh bencana di Asia Tenggara.

Kerjasama berkenaan akan membolehkan pengguna Grab menukar mata terkumpul mereka menjadi sumbangan kepada IFRC.

Inovasi ini merupakan kaedah sumbangan pertama seumpamanya bagi IFRC yang dilakukan melalui telefon pintar, yang menandakan permulaan bagi Grab dan IFRC bekerjasama untuk menyokong rantau Asia Tenggara yang terdedah kepada bencana, susulan perkongsian terdahulu pada 2016.

“Asia Tenggara adalah antara kawasan paling terdedah kepada bencana di dunia dengan ramai yang masih berusaha untuk mengakses makanan, air yang selamat, perkhidmatan kesihatan atau mata pencarian asas.

“Bekerjasama dengan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah untuk membiayai program mereka serta membantu orang-orang dalam krisis atau merana, menyokong misi kami untuk memacu Asia Tenggara ke hadapan, ” kata Pengarah Urusan GrabPay Asia Tenggara, Jason Thompson dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata dengan menggunakan GrabRewards yang diperoleh daripada menggunakan perkhidmatan Grab sebagai platform membuat sumbangan adalah semudah menggunakan telefon anda, tambahnya.

Sementara itu, Ketua Perkongsian IFRC Bagi Asia Pasific, Pierre Kremer berkata kerjasama ini adalah usaha pertama IFRC menjalin kerjasama membabitkan aplikasi telefon pintar untuk mengumpulkan dana.

“Kami mempunyai komitmen yang sama untuk mengembangkan hubungan antara rakyat dan perpaduan serta menyumbang untuk membina masyarakat, bandar dan negara yang berdaya tahan.

Mulai 31 Januari, pengguna Grab di Malaysia, Indonesia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam boleh melihat katalog GrabRewards mereka dan menukar mata ganjaran mereka menjadi sumbangan, dengan hanya menggunakan aplikasi harian mereka.

Derma bermula pada RM5 sebagai pertukaran kepada 700 mata GrabRewards. – BERNAMA

Loading...