Golongan ‘Doula’ Perlu Bincang Dengan KKM

KUALA LUMPUR – Golongan ‘doula’ (pembantu ketika proses kelahiran) disaran tampil mengadakan sesi janji temu dengan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan maklum balas mengenai amalan tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan tersebut perlu kerana amalan doula memerlukan satu pengurusan yang baik kerana ia melibatkan aspek kesihatan dan nyawa seseorang.

“Kita perlu adakan perbincangan dengan mereka secara langsung, sebab akhirnya jika kita benar-benar mahu mengizinkan amalan doula, ia mesti dilakukan dengan penuh tanggungjawab, prosedur operasi standard (SOP) dan syarat yang tersendiri.

“Mesyuarat pasca Kabinet sering kali membincangkan perkara ini, bahawa perbincangan harus diadakan dan amalan itu perlu melalui pemerhatian dan pengurusan baik supaya tidak timbul kemudaratan. Kita mahu mengadakan janji temu untuk mereka tampil ke hadapan, sama ada individu, kumpulan atau organisasi untuk kita wujudkan amalan lebih baik dan elak kemudaratan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Codex Berkaitan Lemak dan Minyak (CCFO) ke-26 di sini hari ini. – BERNAMA

Loading...