Geng Pecah Rumah Warga Amerika Latin Di Selangor Tumpas

SHAH ALAM – Polis Selangor berjaya menumpaskan geng pecah rumah warga Amerika Latin yang dipercayai terbabit dalam 53 kes melibatkan kerugian kira-kira RM8 juta di sekitar Selangor sepanjang tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, ini berikutan penahanan empat lagi suspek warga Colombia berusia lingkungan 30 sehingga 34 tahun dalam satu operasi pada pukul 11 malam di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur pada 8 Nov lepas.

Pada 2 Nov polis menahan tiga suspek yang merupakan anggota geng sama.

“Dalam serbuan itu (8 Nov), polis turut merampas pelbagai barangan termasuk 16 telefon bimbit, jam tangan berjenama, beg tangan dan barang kemas dianggarkan bernilai RM20,000.

“Turut dirampas sebuah kereta jenis Mercedes yang disewa dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah pecah rumah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Mohd Adnan berkata pemeriksaan lanjut mendapati tiga daripada suspek memiliki pasport tiruan manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan.

Tambahnya kumpulan itu menyasarkan kawasan perumahan elit dan hanya melarikan wang tunai, jam berjenama serta barang kemas.

“Setakat ini polis percaya mereka terlibat dalam 32 kes pecah rumah di Petaling Jaya, Ampang (lima), Subang Jaya (empat), Kajang (lima), Shah Alam (lima) dan Serdang (dua).

“Geng ini menggunakan taktik menyewa kenderaan mewah dan tinggal di kediaman mewah yang dipercayai disewa pada kadar RM3,000 sebulan di sekitar Lembah Klang untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Mohd Adnan berkata, kesemua suspek kini direman sehingga Rabu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah.

Dalam operasi 2 Nov, tiga suspek, dua warga Columbia dan seorang warga Mexico, ditahan di sebuah kondominium mewah di Damansara, Petaling Jaya.

Modus operandi kumpulan terbabit adalah dengan memecah masuk melalui bahagian tingkap dan menekan loceng rumah mangsa bagi memastikan tiada penghuni dan menggunakan alatan khas bagi mematikan kamera litar tertutup di rumah yang dimasuki.

Kumpulan berkenaan dipercayai menyeludup keluar hasil rompakan mereka dengan memasukkan barang kemas hasil jenayah itu ke dalam jahitan baju dan seluar sebelum dihantar melalui kiriman pos ke negara asal. – BERNAMA

Loading...