Generasi Muda Felda Kini Bijak Raih Peluang

JOHOR BAHRU – Warga Felda kini tidak lagi bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata sebaliknya menjadikan setiap peluang serta bantuan yang ada sebagai satu landasan untuk mereka mengorak langkah lebih maju lagi.

Ini terbukti dengan kejayaan kalangan generasi muda Felda yang menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya mereka sekaligus menepis persepsi sebilangan masyarakat luar yang memandang warga Felda hanya sekadar menunggu bantuan kerajaan.

Mohd Faisal Sulaiman, 36, berkata terdapat banyak peluang di Felda namun untuk merealisasikan matlamat dan berjaya dalam perniagaan dan kehidupan, seseorang itu perlu bijak memilih peluang, mempunyai usaha yang gigih dan sentiasa mencari ilmu dari semasa ke semasa.

“Jujur saya katakan, di Felda kami mempunyai peluang yang amat luas untuk mencari rezeki tambahan, cuma perlu rajin berusaha manfaatkan peluang yang ada dan pihak pengurusan juga bersedia memberi pelbagai bentuk sokongan untuk bertapak,” kata usahawan generasi kedua itu kepada Bernama dalam satu temuramah di sini baru-baru ini.

Anak kelahiran Felda Aping Timur, Kota Tinggi itu memulakan perniagaan A Wood Eyewear Enterprise, perusahaan bingkai kacamata berasaskan kayu pada tahun 2013 dan sehingga kini, beliau menerima tempahan lebih dari 800 bingkai kacamata dari dalam dan luar negara.

Beliau kini memiliki aset bernilai lebih RM60,000 dan mampu meraih pulangan antara RM8,000 hingga RM10,000 sebulan dengan menjual bingkai cermin mata kayu yang menggunakan teknologi laser itu yang harganya dari RM200 hingga mencecah RM1,000.

Turut senada dengan Mohd Faisal ialah Mohd Nor Rashidi Hashim, ialah pengusaha Felda Ulu Penggeli Motorcross Circuit yang juga merupakan seorang kontraktor membekal keperluan kilang sawit di sini.

Pemuda berusia 36 tahun itu menyifatkan pelbagai peluang terbentang luas di kawasan rancangan itu selain aktiviti perladangan kelapa sawit.

Menurutnya, litar lumba motor cross yang mula diusahakan bersama bapanya, Hashim Badri, dibina pada tahun 2013 dan telah menyaksikan pelbagai acara lumba motor bertaraf antarabangsa diadakan di situ selain membuka pelbagai peluang ekonomi kepada penduduk setempat khususnya generasi kedua.

“Mereka lazimnya membuka gerai menjual makanan dan minuman dan seumpamanya semasa perlumbaan atau karnival permotoran,” katanya sambil menambah Majlis Belia Felda Malaysia ada menghulurkan bantuan untuk mencari bakat-bakat baru lumba dan mengasah bakat mereka menerusi litar berkenaan.

“Pihak pengurusan Felda banyak membantu dengan menyediakan infrastruktur litar lumba serta kewangan untuk menyelenggara litar ini selain bantuan peralatan,” katanya yang juga merangkap Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Ulu Penggeli.

Cerita dua usahawan muda ini sekaligus menjadikan impian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melancarkan inisiatif FELDA 2.0 bulan lepas.

Inisiatif itu dilancarkan sebagai satu usaha transformasi untuk menjadikan Felda sebuah tanah rancangan paling berjaya selain mewujudkan komuniti Felda lebih pintar, mampan dan berdaya saing.

Mohd Shouri Mokhtar berkata menerusi program transformasi itu, masyarakat luar bandar tidak lagi perlu berhijrah ke bandar kerana dengan kemudahan prasarana jalur lebar untuk semua penempatan Felda sekaligus menjadikan semua kawasan FELDA terhubung dengan lebih pantas dengan seluruh dunia.

“Ini sangat penting kerana membolehkan semua warga felda termasuk peneroka, usahawan dan sebagainya dapat melakukan pekerjaan, berhibur, berhubung dengan dunia luar tanpa perlu berhijrah kerana semuanya boleh dilakukan hanya dengan menggunakan email, facebook, twitter, instagram dan pelbagai aplikasi sosial lain,” kata pemuda berusia 34 tahun dari Pahang itu.

Sementara itu, Mohd Faisal berkata jaringan internet sangat penting dalam merealisasikan Felda 2.0 kerana dengan arus perkembangan global dunia yang hanya di hujung jari menyebabkan golongan usahawan sepertinya memerlukan akses lebih pintar dan pantas untuk melancarkan kelangsungan perniagaannya.

“Bayangkan jika talian network pada kadar puncak sering terganggu… Sukar untuk menerima Whatapps apatah lagi untuk mengelola laman web.

“Sudah tentu kami terlepas banyak tempahan dan pengeluaran menjadi perlahan kerana saya perlu ke bandar untuk mendapatkan isyarat internet dan membeli bahan mentah di mana sebenarnya ia boleh dibeli di atas talian dengan harga jauh lebih murah dan ini dapat mengurangkan kos pengeluaran,” tambahnya lagi.

Hampir kesemua mereka mengakui masih mengharapkan pentadbiran di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) kekal demi menjaga kesejahteraan masyarakat khususnya di FELDA.

“Saya sayangkan Umno dan BN. Kuasa politik BN masih relevan. Saya menyokong dan mengharapkan kepimpinan kerajaan yang ada akan terus menerajui Johor bagi 10 tahun mendatang kerana pembangunan di Johor kini begitu rancak ,” kata Mohd Faisal.

Beberapa siri penyerahan surat pemilikan tanah di seluruh Malaysia kebelakangan ini membuktikan keprihatinan kerajaan BN serta FELDA di bawah kepimpinan Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan kerajaan pusat bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan hak peneroka sekaligus menjayakan visi Felda 2.0.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dipetik sebagai berkata visi kerajaan adalah untuk meneroka jalan baru bagi menjana kekayaan dan kemandirian untuk semua warga Felda dan penyerahan hak milik tanah tersebut bertujuan memastikan generasi kedua Felda dapat memanfaatkan aset untuk menjana pendapatan sekali gus menjayakan misi Felda 2.0.

“Kita mahu Felda ini dilihat sebagai satu wilayah dan kawasan yang mempunyai kepentingan ekonomi yang besar dan bukan sekadar kawasan ladang yang diuruskan secara rutin dan antara misi kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan Felda sebagai satu wilayah pertumbuhan,” katanya lagi. – BERNAMA

Loading...