Gempar Mayat Lelaki Bawah Jejambat

KUALA LUMPUR – Pengunjung serta peniaga di sekitar Pasar Pudu digemparkan dengan penemuan mayat seorang lelaki berhampiran kawasan longgokan sampah di bawah jejambat di Jalan Yew di sini pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, pihaknya menerima makluman tentang penemuan mayat tersebut daripada orang awam kira-kira pukul 8.07 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota bertugas telah menemui mayat seorang lelaki dipercayai warga asing berusia 30-an dalam keadaan terlentang di atas permukaan jalan di bawah jejambat.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa mempunyai banyak kesan kecederaan pada anggota badan malah jari telunjuk di kaki kanannya turut putus.”

Bagaimanapun, pemeriksaan pihak polis tidak menemui sebarang kesan darah pada pakaian serta persekitaran si mati ditemui.

Menurut Rudy, mangsa dipercayai telah dibunuh di tempat lain dan mayatnya telah ditinggalkan di lokasi tersebut.

“Siasatan sedang dilakukan bagi mengenalpasti identiti mangsa dan pihak polis akan turut memeriksa rakaman televisyen litar tertutup di kawasan ini.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Lanun Keseksaan.

“Tambah Rudy, orang awam yang terlihat kejadian atau mempunyai sebarang maklumat diminta untuk tampil membantu siasatan,” katanya. – K! ONLINE

Loading...