Gejala Rasuah Mampu Gugat Kedaulatan Negara

IPOH – Gejala rasuah mampu menggugat kedaulatan dan melumpuhkan sistem keadilan sesebuah negara yang mengamalkan pemerintahan secara demokratik.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata perkara itu ditekankan kerana gejala rasuah yang berlaku melibatkan semua peringkat termasuk golongan kenamaan.

“Besar pangkat seseorang maka besarlah peluang untuk merompak harta rakyat dan semakin licik pula melepaskan diri daripada disabitkan dengan jenayah rasuah.

“Selain itu, antara punca yang menyebabkan berlakunya gejala ini adalah bernafsu besar atau tamak haloba, mengamalkan cara hidup mewah, ingin cepat kaya dan sebagainya,” katanya ketika menyampaikan Khutbah Jumaat di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah.

Dzulkifli berkata gejala rasuah juga akan melahirkan keperibadian buruk kerana individu yang terlibat rela menggadaikan maruah agama dan bangsa demi mengejar kekayaan semata-mata.

“Apa yang menakutkan dan membimbangkan kita ialah mereka yang melakukan rasuah atau bersubahat dengan gejala ini juga dianggap sebagai perompak harta rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkifli berkata setiap individu terutama orang Islam disarankan supaya mendekatkan diri dengan agama supaya kegiatan rasuah dapat dihindari secara menyeluruh.

Katanya Islam juga mewajibkan setiap umatnya supaya mencari sebarang pekerjaan yang halal kerana ia dianggap sebagai ibadah di sisi Allah. – BERNAMA

Loading...