Gaji Minimum: Pekerja Layak Buat Aduan

MARAN – Pekerja berhak membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) jika pihak majikan masih gagal melaksanakan Dasar Gaji Minimum yang dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, sehingga kini sebanyak tiga majikan dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan tersebut.

Menurutnya, majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 setiap pekerja bagi kesalahan pertama, jika terus ingkar, denda RM1,000 setiap pekerja sehari.

Katanya, bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

“Kira-kira 10,000 majikan di negara ini masih gagal melaksanakan dasar gaji itu yang terpakai bagi semua majikan, tanpa mengira lokasi perniagaan.

“Walaupun jumlah ini amat kecil iaitu hanya lima peratus daripada 200,000 majikan yang berdaftar dengan JTK namun kerajaan memandang serius perkara tersebut,” katanya ketika merasmikan Program Karnival Kerjaya Azam Kerja dan Kemahiran peringkat negeri di Dewan Jubli Perak, di sini.

Ismail berkata, kementerian menubuhkan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang mengikut Perintah Gaji Minimum 2012 bagi mewajibkan majikan membayar gaji minimum kepada pekerja.
Menurutnya, Dasar Gaji Minimum juga meliputi pekerja yang dibayar secara upah ikut kerja, tan, trip perjalanan atau komisen.

“Majikan dikehendaki untuk menambah gaji pekerja sekiranya pendapatan mereka tidak mencapai sebanyak RM900 sebulan bagi Semenanjung Malaysia atau RM800 sebulan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya. – Sinar Harian Online

Loading...