FGV Umum Inisiatif Pengoptimuman Tenaga Kerja

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) memperkenalkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) bagi semua pengurus besarnya dan ke atas sebagai sebahagian daripada langkah pengoptimuman tenaga kerjanya.

Inisiatif itu sejajar dengan niat strategik FGV untuk mencapai prestasi mampan dalam menghadapi industri yang mencabar dan meningkatkan prestasi operasi dan kewangan perniagaan teras FGV.

“Inisiatif ini perlu bermula dari atas dan ia merupakan isyarat yang kami membuat keputusan yang sukar dalam usaha meningkatkan keyakinan pemegang saham dan pihak berkepentingan kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Zakaria Arshad dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mendedahkan elaun kumpulan pengurus besar, pengurus besar kanan dan naib presiden termasuk beliau akan dikurangkan kira-kira 15 peratus sebagai sebahagian daripada inisiatif pengurusan kos berhemat syarikat.

Syarikat itu menjangka sebanyak 15 peratus akan mengambil VSS daripada 236 kakitangan pengurusan kanan yang menerima tawaran tersebut.
Zakaria berkata tiada perubahan dalam struktur pengurusan semasa.

“S. Palaniappan, yang mempunyai pengalaman selama hampir 40 tahun dalam industri perladangan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan kekal sebagai Ketua Pegawai Operasi kami dalam sektor perladangan yang bertanggungjawab ke atas aktiviti R&D, hiliran sawit dan huluan sawit.

“Datuk Khairil Anuar Aziz merupakan Ketua Pegawai Operasi sektor gula dan logistik serta lain-lain dengan tanggungjawab tambahan menyelia sektor gula, berkuat kuasa Januari 2018,” kata Zakaria. – BERNAMA

Loading...