FGV Sasar Jual 30,000 Tan Baja Baharu

KUALA LUMPUR – Unit Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), FPM Sdn Bhd (FPM), menyasarkan untuk menjual 30,000 tan baja yang diformulasikan secara khusus – MPOB F2 dan MPOB F2 Super K – dalam tempoh lima tahun.

Dalam kenyataan hari ini, FGV berkata, baja itu, adalah hasil kerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), boleh menyokong pertumbuhan pokok sawit, mengekalkan nutrien serta meningkatkankecekapan penyerapan air serta kualiti tanah bagi jangka panjang.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata FPM mahu​​​​​​​memasarkan produk itu kepada pekebun kecil di seluruh negara selain mengeskportnya ke Indonesia.

“Baja itu dihasilkan oleh FPM mengikut kawalan kualiti yang ketat selain menggunakan mineral import berkualiti tinggi dari Kanada, Rusia, Jerman dan Jepun, malah akan membekalkan lebih banyak nutrien seimbang.

“Oleh itu, pekebun kecil boleh menjangkakan hasil lebih tinggi sekali gus meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

MPOB F2 sesuai untuk penanaman sawit di semua jenis tanah manakala MPOB F2 Super K lebih sesuai untuk ladang sawit bertanah gambut yang dianggarkan kira-kira 2.6 juta hektar di seluruh Malaysia.

FPM, pengimport dan pembuat utama baja di Malaysia, mempunyai kapasiti pengeluaran 850,000 tan setahun. – BERNAMA

Loading...