FGV Peruntuk RM10 Juta Untuk Korban Sejak 2012

PEKAN – Felda Global Ventures (FGV) membelanjakan kira-kira RM10 juta setahun bagi melaksanakan ibadah korban di 317 buah tanah rancangan Felda di seluruh negara sejak syarikat itu mula disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2012.

Pegawai Bertanggungjawab FGV Datuk Khairil Anuar Aziz berkata program itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat selain bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dengan peneroka yang merupakan nadi Felda.

Katanya FGV juga sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan peneroka dan keluarga mereka tanpa sebarang prejudis walaupun sering berhadapan dengan persepsi negatif ekoran hasutan pihak tidak bertanggungjawab.

“Sejak tahun 2012, FGV telah mengeluarkan zakat sebanyak RM104 juta manakala dividen bernilai RM1.6 bilion telah diberikan kepada peneroka bagi tempoh sama.

“Walau dilanda beberapa isu besar sejak akhir ini, namun ia tidak menjejaskan kemampuan FGV dalam menjaga kebajikan peneroka dan tiada sebarang masalah besar yang menghalang hubungan baik yang berlangsung selama ini,” katanya.

Khairil Anuar berkata demikian selepas menghadiri majlis korban di Masjid Al-Makmuriah Felda Chini 3 di sini hari ini, yang turut disertai Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Ekonomi) Felda Ab Ghani Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Pahang Datuk Abu Bakar Harun.

Pada majlis itu, sepuluh ekor lembu sumbangan FGV dan Abu Bakar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Chini dikorbankan untuk diagihkan kepada penduduk setempat.

Khairil Anuar juga berkata hubungan erat antara FGV dan peneroka mampu terus bertahan jika rasa syukur dapat diterapkan di dalam diri masing-masing.

“Saya berharap setiap daripada peneroka memikirkan pengorbanan yang telah dilalui dan sentiasa bersyukur dengan apa yang telah dikecapi sehingga hari ini.

“Pencapaian cemerlang Felda menjadi penentu kepada masa depan generasi seterusnya dalam memastikan mereka dapat terus menikmati kehidupan selesa dan pulangan hasil yang terus meningkat,” katanya. – BERNAMA

Loading...