Thursday, March 28, 2024

Creating liberating content

MOA Kemuka 4 Modul...

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) telah mengemukakan empat...

4,214 Kes Baharu Covid-19,...

KUALA LUMPUR - Kes baharu Covid-19 mencatatkan penurunan lebih 1,000 kes berbanding semalam...

Stoner Catat Masa Terpantas...

SEPANG - Legenda MotoGP dan pemandu ujian pasukan Ducati, Casey Stoner mencatat masa...

PLKK Bantu Belia Orang...

SEREMBAN - Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) adalah antara inisiatif kerajaan melalui...

Felda Bantu Anak Peneroka Lanjut Pelajaran Ke Luar

KUALA LUMPUR – Pelbagai program dirangka bagi membuka peluang anak peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memperoleh pendidikan ke peringkat tertinggi, sekali gus memperbaiki taraf hidup keluarga tanah rancangan berkelompok itu.

Antara usaha yang dilakukan melibatkan 31 pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di pelbagai universiti luar negara melalui Dana Khas Pelajar Cemerlang ke Luar Negara Felda dengan biasiswa antara RM500,000 hingga RM800,000 setiap seorang sepanjang tempoh empat tahun pengajian.

Pengarah Jabatan Pendidikan Felda, Mohd. Ridzuan Mohd. Noor berkata selain itu seramai 11 pelajar sedang mengikuti kursus A-Level Cambridge selama dua tahun sebagai persediaan sebelum dihantar untuk meneruskan pengajian ke luar negara.

“Kita pilih mereka yang memperoleh 10A dan ke atas. Pemilihan untuk tahun ini telah dijalankan di mana 11 pelajar terpilih menjalani ‘A-Level Cambridge’. Kesemua pelajar berkenaan kini telah mendaftar di Kolej Yayasan UEM sebagai persediaan mengikuti beberapa kursus yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sehingga kini seramai 55 pelajar telah menamatkan pengajian di bawah pembiayaan dana tersebut yang diwujudkan pada 2006 dan sedang berkhidmat di lembaga itu sebagai memenuhi syarat selama 10 tahun berkhidmat di Felda.

“Kumpulan pertama tamat pengajian dan kembali ke tanah air pada 2011. Kelebihan dana ini adalah segala kos pengajian ditanggung malah dijanjikan peluang kerjaya apabila berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang iaitu pengurusan, sains dan kejuruteraan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Felda turut menyediakan Asrama Semai Bakti di Kuala Lumpur, Johor dan Pahang yang kini menempatkan 551 pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun.


Beliau berkata asrama itu ditubuhkan untuk memberi peluang kepada pelajar Tingkatan 1 sehingga 5 yang mendapat keputusan cemerlang di dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi mendapatkan pendidikan sempurna di sekolah-sekolah terpilih di bandar.

“Kos penempatan di ASBF dibiayai sepenuhnya oleh Felda. Ibu bapa hanya dikehendaki membayar wang hemat diri sebanyak RM40 semasa kemasukan anak-anak ke asrama dan yuran bulanan sebanyak RM5,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan Jabatan Pendidikan dan Pembangunan Generasi Felda Hisyam Ahmad berkata lembaga itu juga memperkasakan pembangunan modal insan generasi kedua Felda dengan menganjurkan pelbagai program antaranya program Syukuri Nikmat yang lebih menjurus kepada memberi kesedaran tentang bahaya dadah.

Menurutnya program kerjasama Felda dengan Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan itu kini menjalankan projek rintis di Felda Bukit Goh, Kuantan.

“Sehingga kini lebih 10 aktiviti (program) telah dijalankan, malah pelbagai program lagi sedang dirangka sehingga hujung tahun ini bagi melihat keberkesanan program Syukuri Nikmat ini dalam kalangan pelajar sekolah menengah,” katanya. – BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan:
  • Felda

Kategori