Fasa Ketiga Menaik Taraf Mataf Siap Sebelum Musim Haji

MAKKAH – Projek fasa ketiga menaik taraf mataf, iaitu tempat tawaf bertingkat mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram di sini, dijangka siap sebelum musim haji tahun ini.

Datuk Bandar Makkah, Dr Osama Fadl al-Baar, berkata apabila siap kelak, kira-kira 130,000 orang boleh mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah setiap jam, berbanding keupayaan mataf masa ini yang menampung kira-kira 70,000 orang sejam semasa musim haji, umrah dan 10 hari terakhir Ramadan.

Beliau berkata, projek berkenaan meningkatkan kapasiti mataf berbanding hanya 45,000 orang sejam sebelum struktur yang melingkari Kaabah itu dinaik taraf.

“Bermakna, kapasiti mataf bakal dipertingkatkan kepada dua orang setiap meter persegi, sekali gus membolehkan struktur itu menampung lebih ramai jemaah,” katanya dalam sidang akhbar bersama media Malaysia di pejabatnya di sini, semalam.

Turut hadir, Konsul Haji Tabung Haji (TH), Redhuan Sabaruddin. Osama berkata, fasa menaik taraf mataf yang seterusnya dijadualkan siap pada tahun depan. “Apabila projek pembesaran masjid tersebut siap, kira-kira dua juta umat Islam boleh mengerjakan solat dalam kawasan Masjidil Haram.

Jumlah itu adalah peningkatan tiga kali ganda kapasiti Masjidil Haram berbanding sebanyak 600,000 jemaah sekarang,” katanya. Sementara itu, katanya, projek lain seperti transit aliran ringan Metro Makkah dan sistem pengangkutan awam yang lain termasuk bas dijadualkan siap secara berperingkat menjelang 2020.

Katanya, projek kereta api laju al-Haramain yang dijadualkan siap pada 2017 akan memendekkan masa perjalanan dari Madinah dan Jeddah menuju ke Makkah.

“Dari Madinah ke Makkah cuma mengambil masa dua jam manakala dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah ke Makkah pula hanya 30 minit,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply