Fabregas Sempurna Diganding Bersama Costa : Mourinho

LONDON – Jose Mourinho menghambur pujian kepada bintang tengahnya, Cesc Fabregas yang dianggap perancang utama terhadap ketajaman penyerang berbisa Chelsea, Diego Costa yang meledak pada awal musim ini.

Costa seakan sudah selesa dengan aksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kehadirannya dari kelab Sepanyol, Atletico Madrid awal musim ini dan sudah menjaringkan tujuh gol daripada empat perlawanan termasuk meledak hatrik ketika menewaskan Swansea 4-2, Sabtu lalu.

Mourinho jelas gembira dengan ‘naluri membunuh’ dan corak serangan dimiliki Costa namun percaya hantaran daripada pemain tengah Sepanyol, Fabregas menjadi elemen penting kepada kejayaan rakan sepasukannya itu di bahagian serangan.

Jurulatih bermulut lancang Chelsea itu membuat keputusan untuk membawa pulang Fabregas ke EPL selepas mengharungi musim menarik di Barcelona dan bekas pemain Arsenal itu membuktikan dengan menjadi perancang kepada dua gol Costa ketika menentang Swansea.

Dan dinamik mereka sekali ditagih pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Eropah ketika The Blues menanti kunjungan Schalke, awal pagi Khamis ini dengan Mourinho menjangkakan Costa akan terus memanfaat magis ditampilkan Fabregas.

“Untuk bermain dengan Fabregas adalah impian setiap penyerang,” kata Mourinho. “Pemain seperti ini (Fabregas) melihat gerakan, melihat hantaran dan tidak tamak, sentiasa membuat keputusan yang betul.

Bagi Fabregas, pujian Mourinho tidak perlu diangkat begitu tinggi malah merendah diri dan menafikan ia adalah sumbangan peribadinya yang membawa kepada permulaan cemerlang Costa.

“Hanya cuba melakukan tugas saya. Itu saja,” kata Fabregas. “Kami mempunyai pasukan yang baik, kuat, muda dan mempunyai banyak keberanian. Kami membuktikannya ketika menentang Swansea.”

Selepas sering mengeluh mengenai kekuatan di bahagian serangannya musim lalu, Mourinho ketika ini jelas gembira selepas pemainnya sudah meledak sejumlah 15 gol dalam empat perlawanan dan menduduki tangga teratas EPL. – AFP