Exco Pahang Dikejar Ke Hospital Charing Cross London

KUANTAN – Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Pahang, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin dimasukkan ke Hospital Charing Cross di London selepas pengsan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin (gambar di atas) berkata, doktor mengesahkan keadaan Shahiruddin tidak membimbangkan dan beliau memerlukan rehat yang cukup.

β€œDoktor berkata Shahiruddin pengsan disebabkan dirinya terlalu letih ditambah dengan faktor perubahan cuaca memandangkan beliau sudah batuk semasa tiba di London. Keadaannya kini stabil dan boleh bercakap.

“Tetapi doktor memintanya untuk berehat. Tapi sekali lagi, keadaannya tidak serius dan beliau mungkin dibenarkan keluar selepas tiga atau empat hari,” katanya dari London semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Mohd Sharkar menjelaskan gambar beliau bersama Shahiruddin yang tular di media sosial sebenarnya menunjukkan Shahiruddin sedang tidur semasa beliau datang melawat dan gambar itu diambil oleh orang lain yang turut berada di wad itu.

Shahiruddin Ab Moin

​​​​​​​Mohd Sharkar berkata perkembangan itu telah dimaklumkan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang kemudiannya mengarahkan beliau untuk memantau dan menguruskan semua keperluan Shahiruddin di hospital itu.

Sementara itu, adik Shahiruddin, Nurul Huda semasa dihubungi berkata abangnya berlepas ke London pada Sabtu lalu dan beliau dimaklumkan abangnya pengsan selepas bersarapan pagi di hotel pada kira-kira pukul 9 pagi semalam.

“Beliau kini dalam keadaan sedar dan stabil tapi masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi kerana keadaannya masih perlu dipantau dan doktor perlu melakukan beberapa ujian kesihatan bagi memastikan keadaannya benar-benar baik,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai untuk mendoakan kesihatan abangnya dan tidak menyebarkan fitnah terutamanya di laman sosial sehingga mengganggu emosi anggota keluarganya pada saat-saat begini.

Difahamkan isteri Shahiruddin, Datin Seri Arbaayah Abdul Wahab dan dua anaknya berlepas ke London pada pagi tadi. – BERNAMA