Exco Melaka Gesa Orang Ramai Derma Darah

MELAKA – Rakyat Melaka digesa menderma darah di Tabung Darah, Hospital Melaka di sini bagi memastikan bekalan darah mencukupi sekiranya berlaku sebarang kecemasan khususnya sepanjang bulan Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri Low Chee Leong berkata bekalan darah di Tabung Darah berada pada tahap 1,700 beg dan jumlah itu perlu ditambah dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan stabil serta mencukupi.

“Jika jumlah tersebut mencecah 1,000 beg darah, keadaan akan menjadi agak membimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Bazar Ramadan, Jalan Hang Tuah di sini, lmalam tadi.

Beliau meminta pihak badan bukan kerajaan (NGO) membantu dalam menganjurkan program derma darah.

Sementara itu, katanya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) perlu membuat perancangan lebih rapi dalam menguruskan Bazar Ramadan kerana beliau menerima banyak aduan daripada peniaga mendakwa kerugian akibat khemah yang dipasang bocor dan barangan basah apabila hujan lebat.

Low berkata harga khemah yang ditawarkan di bazar berkenaan juga terlalu mahal selain dilihat menyukarkan peniaga kecil, justeru MBMB diminta segera menurunkan harga khemah seperti yang diarahkan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari baru-baru ini.

“Saya dimaklumkan setakat ini hanya Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya sahaja yang telah mengambil langkah awal menurunkan harga khemah seperti yang diarahkan ketua menteri,” katanya.

Beliau berkata isu berkenaan akan dirujuk kepada Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Tey Kok Kiew dan dibangkitkan dalam mesyuarat Exco minggu depan untuk perbincangan lanjut.

Katanya terdapat 135 khemah di Bazar Ramadan Jalan Hang Tuah dan sewa yang dikenakan antara RM2,000 ke RM6,500 bergantung kepada saiz khemah dan lokasi. – BERNAMA