ESTCON 2018 : Lebih 700 Kertas Kerja Industri 4.0 Bakal Dibentang

KUALA LUMPUR- Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia 2018 (ESTCON 2018) akan menyaksikan 702 kertas kerja dibentangkan oleh pakar dan…

KUALA LUMPUR- Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia 2018 (ESTCON 2018) akan menyaksikan 702 kertas kerja dibentangkan oleh pakar dan pemain industri mengenai aliran dan isu terkini Industri 4.0 dari perspektif global.

Naib Canselor UTP merangkap Pengerusi ESTCON 2018, Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata ESTCON 2018 berjaya menarik lebih daripada 20 peratus pembentang kertas kerja daripada pemain-pemain industri seperti yang disasarkan.

“Pada kali ini, kami berjaya mendapatkan sekitar 20-25 peratus senarai pembentang kertas kerja dari pemain industri di Malaysia dan antara yang terlibat adalah pemain industri di dalam bidang minyak dan gas, operasi huluan dan hiliran, penghasilan dan pencarian minyak, malahan juga industri elektronik, sains sosial dan kemanusiaan, pengurusan dan penyelenggaraan aset dan banyak lagi,” kata beliau kepada Bernama.

ESTCON 2018 yang merupakan penganjuran edisi kelima bakal berlangsung selama dua hari di Pusat Konvesnyen Kuala Lumpur bermula 13 Ogos ini.

Mohamed Ibrahim berkata, ESTCON 2018 dengan temanya “Sains, Teknologi dan Kemanusiaan: Mencipta Semula Masa Depan” bakal mengumpulkan lebih 1,000 peserta dari 40 buah negara.

“Ia bertepatan buat masa ini memandangkan negara dan dunia sedang mempersiapkan diri untuk memasuki era Industri 4.0,” katanya.

Antara tokoh yang bakal menyampaikan ucaptama dalam sesi plenari adalah Pengerusi London Futurists, Dr David Wood yang juga merupakan pengasas bersama Symbian yang memperkenalkan sistem pengoperasian telefon pintar pertama di dunia, Presiden Akademi Sains Malaysia dan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Asma Ismail, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Bhd, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani dan pemenang Noble Laureate, usahawan sosial dan pengasas Grameen Bank, Prof Muhammad Yunus.

“Kami telah dapat menyusun barisan tokoh dan penyampai berpengalaman yang melakukan penyelidikan dalam bidang-bidang yang tertentu selari dengan tema kongres ini, oleh yang demikian kami mengalu-alukan kehadiran lebih banyak lagi peserta ‘walk-in’ kerana kami percaya kongres ini dapat memberi banyak manfaat kepada masyarakat.

“Peserta ‘walk-in’ hanya perlu membayar harga tiket untuk satu kehadiran dan mereka boleh menyertai mana-mana sesi, sesuai dengan minat mereka,” tambah beliau.

Peserta boleh melakukan pendaftaran secara dalam talian di http://estcon.utp.edu.my/BERNAMA

Loading...