Enam Mangsa Baharu Banjir Di Pahang

KUANTAN – Tiada penambahan mangsa banjir baharu di Pahang selepas enam sekeluarga dari Kampung Cherating Baru di sini yang dipindahkan, setelah rumah mereka dinaiki air Selasa.

Mereka yang terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan dewasa dipindahkan ke Sekolah Rendah Kebangsaan Cherating pada 4 petang Selasa, setelah rumah mereka dinaiki air setinggi dua meter.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang tiada pemindahan dilakukan bagi kawasan lain di Pahang setakat ini.

Sementara itu, laman sesawang Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia menunjukkan paras air sungai utama di Pahang berada pada paras normal.

Kerajaan negeri Pahang mengadakan persiapan lebih rapi untuk menghadapi musim banjir dengan perancangan lebih proaktif termasuk menyiapkan 629 pusat pemindahan banjir dengan menyediakan bekalan makanan lebih awal.

Sejumlah 140,000 mangsa banjir dijangka boleh ditempatkan di 629 pusat pemindahan tersebut dan antara pusat pemindahan itu ialah di Temerloh 82 pusat, Kuantan (79), Pekan (88), Rompin (35) dan Cameron Highlands (20). – BERNAMA

Loading...