Empat Projek Jambatan Di Pahang Diberi Keutamaan

TEMERLOH – Kementerian Kerja Raya akan memberi keutamaan kepada empat projek jambatan bernilai hampir RM200 juta di Pahang termasuk pembinaan jambatan kedua Temerloh, bagi mengatasi masalah kesesakan di jambatan sedia ada semasa waktu puncak.

Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir berkata pihaknya akan memohon kepada Kementerian Kewangan (MoF) supaya pelaksanaan jambatan itu diteruskan atas faktor keperluan semasa, walaupun ada gesaan kajian semula dilakukan terhadap projek yang belum bermula itu.

Empat projek berkenaan ialah pembinaan jambatan Sultan Haji Ahmad Shah yang dinaik taraf bernilai RM160 juta, menggantikan jambatan Sungai Kechau (RM9 juta), jambatan Bentong (RM5 juta) dan menggantikan jambatan Sungai Mabuk di Kuantan (RM10.2 juta).

“Kementerian akan meminta (MoF) meletakkan projek ini sebagai keutamaan untuk kepentingan rakyat Pahang yang akan menerima manfaatnya jika ia diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas Lawatan Kerja dan Taklimat Menaiktaraf Jambatan Kedua Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang Datuk Abdul Jalil Muhamed dan Jurutera JKR Daerah Temerloh Rosli Osman.

Mengenai projek menaiktaraf jambatan kedua Sultan Haji Ahmad Shah yang merentasi Sungai Pahang, Mohd Anuar berkata ia melibatkan menaiktaraf daripada dua lorong kepada empat lorong sepanjang 685 meter selain membina sistem saliran.

Katanya, projek yang terletak di Jalan Persekutuan FT02 yang menghubungkan Karak ke Maran itu telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 sebelum ini namun pelaksanaannya tertakluk kepada kajian kos projek sebagaimana yang diarahkan agensi pusat.

“Sekiranya MoF bersetuju permohonan pembinaan jambatan itu diteruskan, kita menjangkakan ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk dimulakan,” katanya.

Selain itu, projek menggantikan jambatan di Jalan Persekutuan FT098 di Kampung Raja, Songsang di sini yang merentasi Sungai Semantan dijadualkan siap pada awal tahun hadapan, kata Mohd Anuar.

Projek itu yang melibatkan kos berjumlah RM15.6 juta telah bermula 1 Ogos, 2016. – BERNAMA