Empat Keluarga Tinggal Sehelai Sepinggang

GUA MUSANG – Dua belas mangsa daripada empat keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila dua unit rumah yang didiami mereka di Kampung Baru di sini musnah dalam kebakaran kira-kira 7.40 pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Anuar Abas berkata kejadian itu berlaku ketika kebanyakan penghuni sedang mengemas rumah masing-masing sempena hari cuti umum.

Beliau berkata tiga keluarga mendiami sebuah rumah sewa yang dipecahkan kepada tiga pintu manakala sebuah rumah lagi didiami satu keluarga yang lain.

“Pihak kami hanya menerima panggilan kebakaran pada 8.19 pagi sebelum tujuh anggota dan dua jentera bergegas ke lokasi dan berjaya mengawal kebakaran kira-kira 10 minit kemudian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Anuar berkata punca kejadian serta kerugian masih disiasat.

Seorang mangsa, Mohd Azri Che Seman, 41, berkata kejadian itu berlaku ketika beliau sedang mengemas rumah sebelum dikejutkan dengan jeritan seorang jiran yang memaklumkan kejadian itu.

“Saya kemudiannya terus bergegas keluar dan dalam masa sama berusaha menyelamatkan kereta dan motosikal ke tempat selamat.

“Selepas itu, saya cuba untuk menyelamatkan barangan dalam rumah namun dihalang orang ramai kerana api telah marak,” katanya. – Bernama

*Video sekadar hiasan…