Elakkan Renjatan & Kemalangan Elektrik Pasca Banjir

KUALA LUMPUR – Para penduduk di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah yang dilanda banjir pastinya kini sibuk membersihkan kediaman masing-masing, hendaklah lebih berhati-hati dalam pengendalian peralatan dan barangan elektrik yang terkena banjir.

Suruhanjaya Tenaga menasihatkan mereka agar sentiasa waspada dan memberi perhatian kepada peralatan elektrik di dalam rumah yang ditenggelami banjir sama ada ia masih selamat digunakan.

Pengarah Kawal Selia Keselamatan Elektrik Suruhanjaya Tenaga (ST) Mohd Elmi Anas, selepas banjir benar-benar surut, penduduk seharusnya memastikan suis utama di papan agihan dan semua palam serta soket yang bersambung sudah dimatikan dan dicabut terlebih dahulu, sebelum bekalan elektrik disambung oleh syarikat utiliti.

GUNA JURUELEKTRIK BERDAFTAR

Selain itu, penting bagi penduduk untuk memeriksa dan memastikan tiada peralatan elektrik yang berada di dalam air atau bersambung dengan palam yang aktif bagi mengelakkan sebarang kemalangan berkaitan renjatan elektrik.

“Ini kerana walaupun banjir surut, tidak semestinya semua tempat betul-betul kering, mungkin ada tinggalan selut dan masih basah, maka kena pastikan setiap suis soket dimatikan dahulu kerana dikhuatiri walaupun suis utama ditutup tetapi suis ‘individually’ tidak dimatikan.

“Ini kerana apabila kita hidupkan suis utama, arus elektrik secara automatik akan terus mengalir ke suis yang tidak dimatikan. Bahaya sekiranya suis itu ataupun barangan elektrik yang bersambung dengannya berada di dalam air atau basah kerana boleh mengakibatkan renjatan terhadap orang yang berhampiran,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengingatkan bahawa sifat air sebagai pengalir elektrik tidak seharusnya dipandang remeh dan penghuni tidak sepatutnya membuat anggapan bahawa rumah mereka benar-benar selamat selagi pemeriksaan menyeluruh tidak dilakukan.

“Sebelum menghidupkan semula suis utama, pastikan pendawaian dan pembumian rumah diperiksa, dibaiki dan diuji oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST… dikhuatiri jika ada pendawaian rumah yang terbuka atau rosak akibat banjir teruk,” katanya.

Mohd Elmi menegaskan agar tidak sesekali cuba menguji atau membaiki sendiri peralatan elektrik yang ditinggalkan ketika banjir terutamanya yang terendam air.

Beliau berkata jika masih mahu menggunakan peralatan tersebut, hendaklah dikeringkan terlebih dahulu kemudian diperiksa, dibaiki dan diuji keselamatannya oleh kontraktor atau juruelektrik yang pakar dan kompeten serta ditauliahkan ST.

Beliau mengingatkan agar orang ramai mengelakkan daripada memijak lopak air berhampiran talian elektrik yang putus atau jatuh dan sentiasa memakai kasut berlapik getah sekiranya terpaksa berdiri di dalam air atau tempat basah.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan umum agar menguji pemutus arus baki yang terdapat di kotak suis utama bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.

“Ia perlu diuji setiap bulan… hanya tekan punat dan sekiranya ia jatuh maknanya ia berfungsi. Tetapi sekiranya tidak jatuh, mungkin ada masalah lain, kemungkinan pendawaian putus atau menggunakan alat yang tidak asli.

“Ia bagaikan jantung kepada sistem pendawaian di rumah, jika tidak berfungsi maknanya penghuni menghadapi risiko tinggi berlakunya renjatan atau kemalangan elektrik,” katanya.

KEMALANGAN ELEKTRIK

Mohd Elmi menjelaskan dalam sektor tenaga elektrik, banyak kemudaratan dan kesan negatif berpunca daripada banjir termasuklah kerosakan pada pepasangan elektrik termasuk pencawang, talian atas putus, alat ubah rosak dan tiang elektrik tumbang.

“Akibat itu gangguan bekalan boleh berlaku, malah boleh menyebabkan peralatan elektrik pengguna rosak kerana voltan tinggi dan neutral putus.

“Lebih malang lagi apabila renjatan elektrik juga boleh berlaku, sekiranya ada yang menyentuh talian elektrik yang putus dan masih hidup, atau terpijak lopak air yang terdapat wayar elektrik hidup,” katanya.

Beliau berkata meskipun tahun lepas dan 2015 tidak merekodkan sebarang kes kemalangan elektrik pada musim banjir, namun pada 2014 terdapat dua kes tiang tumbang dihempap pokok dan satu kes serupa pada 2013.

Pada 2011, berlaku satu kes talian atas dihempap pokok, 2010 satu kes talian putus, 2009 empat kes melibatkan senggaraan tidak sempurna dan talian putus, 2008 dua kes talian putus dan jatuh, 2007 satu kes kerosakan peralatan elektrik, 2005 dua kes kerosakan peralatan elektrik dihempap pokok, 2004 satu talian atas putus, dua kes pada 2002 iaitu talian atas putus dan jatuh serta kerosakan peralatan elektrik manakala pada 2006 dan 2003 tiada kes.

“Contohnya, dalam kes di Sabah pada 2009, mangsa maut ketika cuba mengalihkan kabel talian voltan rendah yang putus dan terjuntai merintangi jalan utama di hadapan sekolah selepas ditimpa pokok buluh ketika hujan.

“Kejadian pada 2009 di Pulau Pinang pula menyaksikan seorang mangsa terkena kejutan elektrik berhampiran pengalir yang putus dan terdedah kepada bahaya, keadaan tempat yang basah menyebabkan arus mengalir di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berharap orang ramai tidak menghampiri kawasan-kawasan terdapatnya pencawang elektrik atau bilik suis elektrik yang ditelenggami air, menghampiri atau mengalih tiang elektrik yang tumbang dan talian elektrik putus atau jatuh di atas tanah.

“Kalau naik kereta dan nampak ada talian elektrik jatuh atas jalan, jangan redah walau beranggapan tayar getah akan selamat. Sebaiknya berhenti dan panggil syarikat utiliti, dan cari laluan lain,” katanya.

ST mengalu-alukan orang ramai agar melaporkan kecuaian utiliti yang boleh mengakibatkan renjatan elektrik apabila pepasangan tidak disenggara dengan kadar segera. – BERNAMA

Loading...